Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Terpengaruh dengan ajakan kenalan maya yang dikenali melalui aplikasi WeChat menyebabkan wang simpanan serta pinjaman milik seorang kerani wanita berjumlah RM14,421 lebur selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud.

Mangsa berusia 25 tahun dipujuk kenalan mayanya itu untuk menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan berganda dengan meminta mangsa memuat turun satu aplikasi di telefon pintar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa tertarik untuk melabur kerana ditawarkan pulangan antara RM25 hingga RM300 sehari.

"Pada mulanya mangsa memperoleh pulangan daripada pelaburan awal dan dia berminat meneruskan pelaburan seterusnya tanpa menyedari suspek sedang menjeratnya.

"Mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan pulangan pelaburan selepas suspek memberi alasan hasil pelaburan di dalam akaunnya dikatakan dibekukan.

"Mangsa yang teruja memiliki keuntungan itu membuat 10 transaksi memasukkan wang ke dalam tiga akaun berjumlah RM14,421 di antara Khamis hingga Ahad lalu sebelum menyedari dirinya terperangkap dengan sindiket penipuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa datang membuat laporan polis semalam bagi siasatan selanjutnya.

"Melalui siasatan mangsa memaklumkan bahawa dia menggunakan wang simpanannya selain meminjam dengan beberapa kenalan untuk melabur skim terbabit.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 4:46 PM