Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang wanita warga emas terpaksa menanggung kerugian RM178,000 selepas terpedaya dengan tawaran skim pelaburan 'navicap' yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa diperdaya seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai dermawan terkenal.

"Wanita warga tempatan berusia 70-an menyatakan pada 15 November 2023, dia menerima pesanan ringkas dari nombor telefon tidak dikenali yang mengaku sebagai seorang dermawan terkenal dan menawarkan skim pelaburan untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi.

"Mangsa membuat dua transaksi berjumlah RM178,000 ke akaun yang diberikan oleh suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran wang modal dan keuntungan yang dijanjikan bagi pelaburan yang dibuat atas alasan akaun pengadu dibekukan.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terbabit untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 10:36 PM