IR Abas Abdullah (baju hijau) bersama penerima sumbangan di Sri Pentas hari ini. FOTO NSTP.
IR Abas Abdullah (baju hijau) bersama penerima sumbangan di Sri Pentas hari ini. FOTO NSTP.
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Seramai 60 anak yatim dan ibu tunggal diraikan bersama kakitangan Media Prima Berhad (MPB ) dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara dan sambutan Hari Aidilfitri anjuran pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

Menerusi sambutan itu, Air Selangor tidak ketinggalan menyumbang barangan keperluan rumah dan makanan asas serta bantuan perkhidmatan pembaikan paip dalaman kepada anak yatim dan ibu tunggal dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim UMMI Selangor dan Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah di Kajang, Selangor serta Persatuan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah di sini.

Air Selangor turut menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak dan ibu tunggal daripada pertubuhan kebajikan terbabit bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri mereka.

Sementara tetamu yang hadir dihiburkan dengan persembahan oleh penyanyi, Naim Daniel dan Sissy Imann selain penampilan khas BoboyBoi bagi menceriakan kanak-kanak.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata selain berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik, sumbangan yang dihulurkan juga diharap mampu meringankan beban kewangan penerima dalam menyambut perayaan.

"Melihat sambutan positif daripada penganjuran sambutan Hari Aidilfitri Sesama Mara pada tahun lalu memberi dorongan kepada kami untuk teruskan penganjuran majlis sama tahun ini dengan harapan yang sama.

"Ia seiring dengan janji jenama kami 'Joy in Every Drop' untuk membawakan keceriaan kepada ahli komuniti, terutamanya anak kecil dan ibu tunggal bersempena musim perayaan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abas berkata, di bawah program Sesama Mara, Air Selangor dapat membantu lebih ramai golongan yang kurang bernasib baik pada Ramadan lalu dengan mengagihkan sebanyak 150 kotak Box of Hope.

"Kotak itu berisi barangan makanan asas seperti beras, minyak, gula, barangan kering dan tepung kepada keluarga B40 yang juga penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Air Selangor turut menyediakan bantuan khas perayaan dan bantuan perkhidmatan pembaikan paip dalaman secara percuma untuk tiga buah rumah kebajikan terpilih serta pemeriksaan kesihatan untuk 70 anak-anak yatim dan warga emas dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Damansara.

"Menerusi program Sesama Mara, Air Selangor ingin mengajak orang ramai untuk sama membantu mereka yang memerlukan dengan pemberian sumbangan ikhlas Box of Hope dalam bentuk bantuan barangan makanan asas.

"Inisiatif Box of Hope itu sudah diperluaskan ke platform digital bagi memudahkan orang ramai untuk memberikan sumbangan menerusi transaksi pembayaran secara dalam talian di www.airselangor.com/boxofhope/,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:13 PM