SHUKRI (kanan) bersama Dennies pada majlis pelancaran kempen Titipkan Luahan Kasih Anda Bersama Julie’s di Balai Berita Jalan Riong. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
SHUKRI (kanan) bersama Dennies pada majlis pelancaran kempen Titipkan Luahan Kasih Anda Bersama Julie’s di Balai Berita Jalan Riong. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Hamizah Badiran

KUALA LUMPUR: Dalam era globalisasi ini, generasi muda melupakan tradisi menghantar kad perayaan dengan mesej khas untuk sahabat handai dan keluarga.

Bagi menggalakkan kembali generasi muda mengambil bahagian dalam mengarang mesej buat insan tersayang, Julie’s Biscuit meneruskan kempen Titipkan Luahan Kasih Anda buat kali kelima tahun ini bagi menyemarakkan lagi sambutan Ramadan dan hari lebaran bersama golongan memerlukan.

Pengurus Jualan Nasional Julie’s Biscuits, Dennis Swee berkata, kempen itu menggalakkan amalan kunjung-mengunjung dan pemberian buah tangan ketika melawat sanak-saudara serta berharap orang ramai menyebarkan kasih sayang mereka melalui penulisan.

“Julie’s menyediakan 10,000 poskad istimewa di mana orang ramai khususnya pembeli biskut Love Letters dan boleh menulis mesej atau doa mereka kepada penerima sumbangan terdiri daripada anak yatim, golongan fakir miskin, ibu tunggal, masjid serta orang tua sempena Aidilfitri tahun ini.

“Bagi membolehkan Julie’s menyediakan sumbangan, kami menyasarkan untuk menjual 100,000 tin biskut Love Letters edisi terhad sepanjang tempoh kempen berlangsung mulai 15 April lalu hingga 31 Mei ini.

“Setiap 50 sen hasil jualan setiap satu tin Love Letters coklat dan strawberi atau Cocoro 700 gram (g) didermakan kepada 50 rumah kebajikan terpilih di Semenanjung Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Balai Berita Bangsar.

Majlis dirasmikan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Shukri Sulaiman.

Tahun ini Julie’s bekerjasama dengan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) bagi mengedarkan Julie’s Love Box dan Kotak Rezeki Harian Metro kepada beberapa rumah anak yatim, kebajikan, orang tua, masjid dan sebagainya.

Kata Dennis, poskad dengan mesej kasih sayang yang ditulis orang ramai juga disertakan di dalam kotak itu untuk disampaikan kepada penghuni rumah berkenaan supaya menceriakan lagi hari mereka.

“Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, kami menyasarkan RM50,000 kutipan dilakukan untuk disumbangkan dalam bentuk keperluan barangan asas seperti biskut, minyak masak, beras, tepung dan sebagainya yang diletakkan dalam Julie’s Love Box.

“Kotak ini mula diagihkan secara berperingkat bermula 17 Mei sehingga Aidilfitri nanti. Julie’s berharap semua pihak dapat memberi sokongan dan berbahagi rezeki bersama kami,” katanya.

Biskut Love Letters boleh didapati di lebih 220 pasar raya di seluruh negara manakala untuk maklumat lanjut boleh layari laman https://www.facebook.com/JuliesBiscuits.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 11:14 AM