IR Abas Abdullah bersama Elina Baseri dan Kamaruddin Mape bermesra dengan anak-anak yatim dari Rumah Nur Sakinah Subang Murni di Sri Pentas. FOTO Fariz Iswadi Ismail
IR Abas Abdullah bersama Elina Baseri dan Kamaruddin Mape bermesra dengan anak-anak yatim dari Rumah Nur Sakinah Subang Murni di Sri Pentas. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Raja Noraisna Raja Rahim


Kuala Lumpur: Prihatin dengan kanak-kanak kurang bernasib baik, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Media Prima Berhad (MPB) menganjurkan rumah terbuka bagi meraikan Aidilfitri bersama tiga rumah kebajikan.

Tiga rumah kebajikan itu Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Chow Kit, Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari dan Rumah Nur Sakinah, di sini.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata, sambutan bertema 'Sesama Mara Raikan Raya' sebahagian daripada inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan membantu komuniti khususnya golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Selain jamuan hari raya, Air Selangor juga menyumbang bantuan pembiayaan pendidikan dan keperluan asas kepada tiga rumah kebajikan berkenaan untuk membantu mengurangkan beban perbelanjaan mereka.

"Antara inisiatif Sesama Mara lain yang dilaksanakan adalah 'Box of Hope', bantuan pembaikan paip dalaman dan kursus kemahiran perantis tukang paip," katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata, Air Selangor pada bulan Ramadan lalu mengagihkan sebanyak 522 kotak 'Box of Hope' mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak, gula, barangan kering dan tepung kepada keluarga B40 yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Katanya, Air Selangor juga menyediakan bantuan khas sempena hari raya iaitu bantuan perkakasan rumah, pembiayaan pendidikan serta pembaikan paip dalaman secara percuma untuk empat rumah kebajikan terpilih.

Sehubungan itu, pihaknya menggalakkan orang ramai untuk turut serta dalam memberi bantuan menerusi sumbangan barang keperluan di lima cawangan pasar raya Village Grocer terpilih iaitu di pusat beli belah MyTown, 1Mont Kiara, Melawati Mall, i-City serta Tamarind Square.

Sumbangan juga boleh dihulurkan melalui transaksi perbankan dalam talian di akaun bank CIMB Bank Berhad 8007985118 dengan memasukkan butiran Bantuan Inisiatif Box of Hope.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:40 PM