KAKITANGAN Kumpulan Multimedia menghiburkan penghuni Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Chik Sin Thong Klang.
KAKITANGAN Kumpulan Multimedia menghiburkan penghuni Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Chik Sin Thong Klang.
Najiy Jefri


Sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari lalu, kakitangan syarikat produksi, Kumpulan Multimedia bersama maskot harimau Uhuu dan artis mengadakan lawatan amal ke rumah warga emas dan anak-anak yatim di Klang, baru-baru ini.

Lawatan amal diadakan di tiga lokasi iaitu Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Chik Sin Thong Klang, Persatuan Jagaan Kanak-Kanak Ekliptik Klang serta Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih. Semua penghuni rumah kebajikan itu menerima barangan keperluan makanan dan angpau.

Suasana kunjungan dimeriahkan dengan Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia Datuk Steven Lim Boon Siong bersama pengarah filem Teng Bee dan barisan artis Joey leong, JieYing dan Jonathan Lee mempersembahkan beberapa lagu termasuk lagu Tahun Baru Cina.

Lebih menarik, kemunculan maskot harimau Uhuu menambahkan lagi keceriaan warga emas dan anak-anak yatim.

Steven berkata, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu menghalang Kumpulan Multimedia daripada membuat aktiviti amal sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

"Tahun ini, hasrat kami membantu golongan memerlukan sempena perayaan ini dapat dilaksanakan dan kali ini kami membawa maskot harimau Uhuu bertemu penghuni rumah warga emas dan anak-anak yatim. Diharapkan kunjungan kami menaikkan semangat dan menyerikan sambutan Tahun Baharu Cina mereka," katanya.

Menurut Steven, lawatan amal itu pada masa sama bertujuan memberi kekuatan kepada kakitangan Kumpulan Multimedia serta semua pihak terlibat supaya tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan pada pandemik ini.

"Tahun ini adalah tahun Harimau Air yang memberi signifikasi istimewa kerana ia melambangkan harimau Malaya yang semakin terancam di negara ini. Haiwan ini melambangkan keberanian, integriti serta perpaduan. Oleh itu, bersama-sama kita semua berganding bahu supaya rakyat dan negara ini mencapai kemakmuran!" katanya.

Turut memeriahkan lawatan amal terbabit adalah Pengurus Besar Kumpulan Multimedia, Datin Vince Chin, Pengarah syarikat Lim Boon Han dan rakan kongsi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 6:35 AM