Muhamad Lokman Khairi

Batu Gajah: Ketika orang ramai mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri, sekumpulan penduduk di Taman Tasek Putra, Tronoh, di sini komited menjalankan tugas rondaan bagi mengawasi keselamatan rumah yang ditinggalkan penduduk.

Uniknya, rondaan yang dilakukan oleh pihak KRT Kariah Taman Tasek Putra ini bukanlah rondaan biasa kerana mereka melaksanakan tanggungjawab komuniti bersama dua ekor kuda.

Dua kuda berkenaan dikenali sebagai Fateh dan Melor, masing-masing berusia empat tahun.

Difahamkan terdapat dua ekor lagi kuda iaitu Shammus dan Turfa yang masing-masing berusia lima dan satu bulan masih sedang dilatih.

Menurut Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) KRT Kariah Taman Tasek Putra, Khairul Anuar Othman, inisiatif rondaan berkuda berkenaan bermula apabila pengerusi taman berkenaan mencadangkan perkara itu memandangkan terdapat seorang pemilik kuda ingin menyertai SRS.

"Pada mulanya, pengerusi mencadangkan perkara ini kerana taman kami ada seorang pemilik dan pelatih kuda yang ingin menyertai rondaan, selain mempunyai kandang dinamakan KRT Stable.

"Kelebihan rondaan dengan kuda adalah haiwan ini dapat dimanfaatkan bagi memasuki kawasan yang sukar bagi motosikal seperti melintasi longkang dan tempat yang sempit.

"Setiap rondaan akan disertai lebih kurang 20 orang ahli berdasarkan jadual penggiliran yang disediakan," katanya ketika ditemui di Taman Tasek Putra, Tronoh dekat sini, malam ini.

MOHAMMAD Alfi Syahmi menunggang Fateh (kuda kiri) dan Shahril Ridhwan menunggang Melor (kuda kanan) bersama ahli KRT Taman Tasek Putra. FOTO Muhamad Lokman Khairi.
MOHAMMAD Alfi Syahmi menunggang Fateh (kuda kiri) dan Shahril Ridhwan menunggang Melor (kuda kanan) bersama ahli KRT Taman Tasek Putra. FOTO Muhamad Lokman Khairi.

Menurutnya, rondaan pada malam raya adalah penting memandangkan 70 peratus warga taman sudah pulang ke kampung.

"Ahli KRT yang terbabit dalam rondaan malam raya ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kampung berdekatan taman, kami memilih untuk mengawasi keselamatan rumah penduduk terlebih dahulu sebelum pulang beraya.

"Kawasan rondaan meliputi lima taman iaitu Taman Tasek Putra, Taman Tronoh Universiti, Taman Awan Tronoh, Taman Tronoh Awana danTaman UniPark," katanya.

Bagi pemilik dan pelatih kuda, Mohammad Alfi Syahmi Mohammad Sofian, 30, dia berasa bersyukur kerana penduduk taman memberikan sokongan terhadap usaha rondaan berkuda itu.

"Setakat ini penduduk taman banyak memberi reaksi yang positif dan tiada apa-apa masalah. Malah kita juga mendapat sokongan daripada KRT dan penduduk setempat.

"Kuda ini juga digunakan untuk fisioterapi warga autisme," katanya.

Ditanya mengenai cabaran membuat rondaan berkuda pada waktu, Mohammad Alfi Syahmi berkata, individu yang mengendalikan kuda perlu bijak membina kepercayaan dengan haiwan berkenaan.

"Ia bukan semata-mata perihal menunggang kuda, tapi 'horsemanship' kerana kuda perlu kenal siapa yang menunggang. Barulah ia boleh dengar arahan dan beri kerjasama yang baik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Kariah Taman Tasek Putra, Shahril Ridhwan Jalaludin berkata, mereka berani melakukan rondaan berkuda kerana sudah mendapatkan kebenaran daripada pemaju yang juga tuan tanah taman berkenaan selain mempunyai pelatih kuda bertauliah sebagai salah seorang penduduk.

"IPD Batu Gajah dan Balai Polis Tronoh juga sudah dimaklumkan perkara ini.

"Mereka memberikan sokongan kepada usaha rondaan berkuda ini kerana dapat membantu pihak polis mengawasi keselamatan dan mencegah jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 10:54 PM