TERAPI berkuda dianjur PEKA UPM babit 36 kanak-kanak autisme bantu tingkat keterampilan sosial.
TERAPI berkuda dianjur PEKA UPM babit 36 kanak-kanak autisme bantu tingkat keterampilan sosial.
Nurul Husna Mahmud


Program terapi berkuda untuk kanak-kanak autisme antara pendekatan terapi inovatif yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.

Inisiatif terapi itu berjaya dilaksanakan Persatuan Keluarga Autisme Universiti Putra Malaysia (PEKA UPM) bekerjasama dengan AFY Autism and Special Needs Center Cyberjaya membabitkan 36 kanak-kanak autisme baru-baru ini.

Menurut juruterapi profesional AFY Autism and Special Needs Center Cyberjaya, David Woon, peranan kuda sebagai medium yang dapat menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti berkuda, selain mengajar mereka mengikuti arahan.

"Terapi berkuda terbukti memberi pelbagai manfaat kepada kanak-kanak autisme.

"Antaranya meningkatkan keterampilan sosial dan komunikasi mereka kerana bagi autisme interaksi ialah halangan terbesar mereka.

"Apabila berinteraksi dengan kuda, kanak-kanak autisme belajar membina hubungan emosi, memahami bahasa badan dan meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan orang lain.

"Secara tidak langsung kanak-kanak autisme belajar membina keyakinan diri dan 'membuka pintu' kepada lebih banyak peluang sosial," katanya.

Tambah David, terapi berkuda membantu dalam pengembangan motor halus dan koordinasi kanak-kanak autisme.

Ketika berinteraksi dengan kuda, mereka menggunakan keterampilan motor halus untuk mengendalikan gerakan dan memberi arahan kepada haiwan terbabit.

KANAK-kanak austisme berinteraksi dengan kuda juga membantu kemahiran sosial mereka.
KANAK-kanak austisme berinteraksi dengan kuda juga membantu kemahiran sosial mereka.

TEROKA pengalaman pertama terapi dengan menunggang kuda.
TEROKA pengalaman pertama terapi dengan menunggang kuda.

KELUARGA dan penganjur bersama agensi terlibat menjayakan program terapi inovatif menerusi menunggang kuda.
KELUARGA dan penganjur bersama agensi terlibat menjayakan program terapi inovatif menerusi menunggang kuda.

Ini membantu meningkatkan koordinasi mata-tangan dan memperbaiki kepekaan sensori kanak-kanak berkenaan.

Dalam sesi bermula seawal jam 8.30 pagi itu, kanak-kanak dilatih memberi arahan mudah.

Antara arahan ringkas diajar jurulatih ialah melontarkan perkataan 'pergi' untuk menggerakkan kuda dan 'berhenti' bagi menghentikan kuda.

Program itu turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan menerusi kehadiran Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Azurah Sabrin, selaku tetamu kehormat yang merasmikan program.

Turut hadir Pengarah Pusat Pertanian Putra, Dr Siti Zahara Sakimin dan wakil Kelab Ekuestrian BEST UPM Suzannah Musakal.

Sementara itu Presiden PEKA UPM, Saiful Hasley Ramli berkata, program ini yang membabitkan aktiviti luar dan interaksi alam semula jadi itu memberi pengalaman terapeutik yang menyeluruh.

"Menerusi tunggangan santai dibantu 10 sukarelawan Putra Bakti UPM turut mendedahkan kanak-kanak autisme kepada alam semula jadi.

"Ini membantu mereka berada dalam keadaan menenangkan dan menyumbang kepada penurunan tahap kegelisahan serta stress.

"Menjadi sebahagian komuniti ibu bapa kanak-kanak autisme turut merasa gembira dengan hasil positif yang dilihat selepas program ini.

"Ia memberi harapan kepada kanak-kanak autisme untuk mencapai potensi penuh mereka dan membuka pintu kepada peluang baru dalam kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 6:46 AM