FARA Sharina hasil produk berasaskan susu kuda ketika ditemui di Kelab Golf dan Ekueastrian Puncak FOTO: Syarafiq Abd Samad
FARA Sharina hasil produk berasaskan susu kuda ketika ditemui di Kelab Golf dan Ekueastrian Puncak FOTO: Syarafiq Abd Samad
Siti Zarinah Sahib


KECINTAAN mereka terhadap haiwan yang dianggap paling pantas berlari ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Sesi temu ramah yang diatur di KGEPN Equestrian, Bandar Puncak Alam, Selangor memperlihatkan pemilik nama Fara Sharina Zamari, 31, dan suaminya, Mohd Izhan Ramli segak mengenakan pakaian lengkap menunggang kuda.

Hadir sama ketiga-tiga cahaya mata mereka Putri Fasha Felisa, 12, Putra Farish Iskandar, 5, dan Putra Iman Faliq, 4, yang turut berkebolehan menunggang kuda hasil didikan ibu bapa mereka.

Akrabnya mereka dengan kuda dapat dilihat apabila sebahagian haiwan ‘jinak’ yang berada di situ tidak kekok diambil gambar bersama keluarga ini walaupun baru kali pertama bersua muka.

Sambil menemu ramah kedengaran suara Putra Farish merengek meminta menunggang kuda yang akhirnya berjaya ditunaikan juga apabila dia menunggang kuda padi dengan gembira.

FARA SHARINA bersama suami, Mohd Izhan dan tiga anak mereka.
FARA SHARINA bersama suami, Mohd Izhan dan tiga anak mereka.

Penulis sendiri teruja melihat keluarga ini yang menonjolkan kecintaan mereka terhadap sukan ekuin atau berkuda.

“Berkuda memang hobi kami sekeluarga. Setiap hari saya dan suami akan meluangkan masa satu jam menunggang di kawasan rumah, diikuti anak.

“Malah mereka juga tidak kekok dan takut dengan kuda yang kami ibaratkan sebagai sebahagian keluarga kami,” kata Fara Sharina yang pekat dengan loghat Kelantan.

Mesra disapa Fara, wanita murah senyuman dan ramah berbicara ini menjelaskan minat terhadap kuda bermula selepas dia melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Izhan.

Ketika itu Izhan sudah menyertai suka berpolo di Kelantan. Jadi dia mula menyebarkan kebaikan berkuda kepada Fara Sharina apatah lagi ketika itu mereka sudah memiliki kuda sendiri.

“Dulu sebelum berkahwin memang saya tidak pernah menunggang kuda, takut pun ada. Selepas suami memberikan semangat saya mula berani.

“Kali pertama menunggang ada rasa takut tetapi lebih kepada seronok. Lama-kelamaan saya semakin berani menunggang kuda bersendirian sehingga sekarang.

“Oleh kerana sudah sebati dalam diri, apabila tidak ‘membelai’ kuda rasa tidak lengkap. Jadi setiap hari selama satu jam saya habiskan masa di ladang kuda menemani suami yang menjalani latihan untuk pertandingan polo berkuda,” katanya yang memiliki 13 ekor kuda di ladang milik mereka di Kelantan.

BERKUDA MENYIHATKAN BADAN

Kata Fara Sharina, dia semakin yakin perubahan kesihatan yang dirasainya selepas konsisten mengamalkan aktiviti ini. Tanpa senaman, tanpa zumba atau aktiviti kecergasan lain, bagi Fara Sharina berkuda mampu membentuk kecantikan tubuh terutama bahagian pinggul.

“Bagi wanita, hayunan dan rentak larian kuda akan menyebabkan pergerakan tubuh pada bahagian pinggang ke bawah. Jika pergerakan ini dibuat secara tetap ia akan menghasilkan bentuk tubuh yang diinginkan wanita,” katanya.

Ketika menunggang kuda, kita secara tidak langsung akan belajar mengimbangi diri (memperbaiki keseimbangan), mengawal pergerakan badan dan kaki, belajar untuk menjadi lebih fokus dan berkeyakinan. Tidak sekadar menguatkan otot, berkuda turut mendatangkan manfaat kecantikan, apabila kulit menjadi lebih tegang dan melambatkan penuaan.

“Bagi saya satu jam sudah mencukupi kerana menerusi perpeluhan ia membantu mengeluarkan toksin dalam badan. Badan terasa lebih ringan. Saya juga lebih cergas melakukan semua kerja rumah. Sebagai isteri dan ibu, saya perlu menguruskan keluarga pada masa sama menjalankan perniagaan bersama suami,” katanya yang turut memiliki restoran makanan laut di Kelantan.

Dari sudut emosi pula berkuda dapat mendidik individu mengawal emosi supaya sentiasa berada dalam keadaan tenang walaupun ketika itu fikiran diulit masalah.

“Sebab itu berkuda dikatakan sebagai sunah Nabi Muhammad SAW kerana banyak kebaikan. Bukan saja dari sudut kesihatan tetapi mental dan emosi,” katanya.

Anak sulung mereka, Putri Fasha Felisa turut diberi pendedahan cara menunggang kuda ketika berusia empat tahun menerusi tunggangan kuda padi. Anak kedua juga diberikan latihan yang sama oleh ayah. Begitu juga dengan anak ketiga, Faliq yang kini berani menunggang kuda padi sendirian.

Jelas Fara Sharina, mulanya dia risau juga namun selepas melihat mereka sangat berminat dengan kuda, dia dan suami membenarkan ketiga-tiga anaknya menunggang kuda.

“Alhamdulillah mereka tidak kekok. Malah kuda mengeratkan hubungan kami sekeluarga kerana kami melakukan aktiviti ini bersama-sama,” katanya.

HASIL PRODUK BERASASKAN SUSU KUDA

Ketaasuban terhadap haiwan kesayangannya ini mendorong Fara Sharina untuk mula menjalankan kajian mengenai kebaikan susu kuda disebabkan melihat suami mula mengamalkannya.

Oleh kerana menyertai pertandingan polo berkuda, suami mengambil susu kuda sebagai makanan tambahan untuk meningkatkan tenaga dalaman. Melihat kebaikannya dia kemudian memberikan minuman ini kepada anaknya.

“Saya dapati ia membantu menguatkan antibodi anak. Jarang mereka mengalami masalah kesihatan dan sebab itu saya terus memberikan minuman ini kepada anak,” katanya.

Menyedari kebaikan susu kuda dia mula bertanya kepada mereka yang pakar dalam bidang pemakanan.

Fara Sharina sepakat menghasilkan produk kecantikan dan makanan tambahan JL Fara Beauty Sdn Bhd berasaskan susu kuda.

“Saya dan suami ambil masa setahun juga menjalankan pelbagai kajian mengenai susu kuda. Akhirnya kami menemui khasiat bukan sahaja untuk badan tetapi juga kecantikan kulit muka,” katanya yang berdepan cabaran dalam perniagaan sehingga mampu mencapai kejayaan seperti sekarang.

Jelas Fara Sharina selain berkongsi kebaikan susu kuda kepada masa sama, dia ingin membantu wanita terutama ibu tunggal memperoleh pendapatan sampingan dengan menjadi ejen dan stokis.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar, semua orang inginkan pendapatan sampingan untuk membantu keluarga. Saya berharap dengan adanya produk ini dapat sama-sama meningkatkan ekonomi wanita terutama golongan kurang berkemampuan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 6:00 AM