Mohammad Farhan (paling depan, kanan) pada majlis berkenaan. FOTO Amran Yahya
Mohammad Farhan (paling depan, kanan) pada majlis berkenaan. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


“MINGGU lalu, saya bawa anak beli baju Melayu untuk dipakai pada majlis berkhatan dengan harapan dia menganggap kami membuat persediaan menyambut Hari Raya" kata Zainuddin Mursalim, 55.

Dia menceritakan rancangan untuk menghilangkan gemuruh anaknya yang menghidap sindrom down, Mohammad Farhan, 6, yang menyertai program khatan perdana anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Putra, Juasseh di Kuala Pilah, hari ini.

Usahanya berhasil apabila Mohammad Farhan yang turut ditemani abangnya, Mohammad Fakhrul Aiman, 9, kelihatan gembira dan tidak takut ketika dikhatankan di bawah khemah di taman berkenaan, pagi ini.

“Dengan persiapan seolah-olah mahu menyambut Hari Raya, Mohammad Farhan kelihatan teruja, malah tidak tidur lena malam tadi kerana tidak sabar menunggu hari ini.

“Dia bertambah seronok apabila melihat abangnya serta ramai kanak-kanak lain yang juga rakannya turut menyertai program berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Rosli Omar; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Abu Zarin Abdullah dan Pegawai Perpaduan Daerah, Abd Khalid Ujang.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, pada mulanya dia bercadang untuk mengkhatankan Fakhrul Aiman sahaja tetapi bertukar fikiran apabila memikirkan lebih mudah untuk meyakinkan Mohammad Farhan yang juga anak bongsu, untuk berkhatan bersama abangnya berbanding bersendirian pada masa depan.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Putra, Sidek Tahir berkata, program disertai 35 kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun itu bertujuan untuk meraikan mereka selain mengeratkan hubungan antara penduduk, KRT dan pemimpin setempat.

“Kali terakhir program ini diadakan kira-kira lima tahun lalu dan atas permintaan ramai, kita anjurkan sekali lagi.

“Lebih menarik, kita mendapat kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah untuk acara bersiram serta bantuan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan untuk mengkhatankan peserta.

“Di samping program berkhatan, kita juga memasak secara gotong-royong bagi merapatkan lagi ukhwah antara penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 1:29 PM