Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: Siasatan terhadap kes penyeludupan dadah yang dikaitkan dengan seorang usahawan kosmetik sudah hampir siap.

Ketua Polis Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya juga mengambil tindakan susulan berhubung kes pada 10 November itu.

"Setakat ini tangkapan masih kekal lima individu, siasatan sedang berjalan dan hampir siap.

"Selepas kertas siasatan siap sepenuhnya, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pendakwaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika ditemui selepas rondaan Unit Berkuda PDRM di Bandar Puteri Puchong, hari ini

Razali mencuba menunggang kuda pada Rondaan Unit berkuda PDRM di Pusat Bandar Puteri, Puchong. FOTO Saifullizan Tamadi.
Razali mencuba menunggang kuda pada Rondaan Unit berkuda PDRM di Pusat Bandar Puteri, Puchong. FOTO Saifullizan Tamadi.

Pada 10 November lalu, lima lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah jenis methamphetamine rentas negara dalam dua serbuan di sekitar Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, Serdang.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, serbuaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serdang yang menahan dua beradik lelaki berumur 25 dan 31 tahun yang menaiki kereta Ford Mustang dalam serbuan pertama.

Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 120 bungkusan teh cina mengandungi dadah dianggarkan 126.85 kilogram bernilai RM5 juta.

FOTO Arkib NSTP.
FOTO Arkib NSTP.

Berita berkaitan

Usahawan kosmetik ditahan terbabit penyeludupan dadah RM5 juta [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 12:54 PM