Amir Abd Hamid


Cyberjaya: Kerajaan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melaksanakan strategi perluasan hasil cukai dan kutipan dengan lebih berkesan melalui Program Pengakuan Secara Sukarela (PPSS) yang akan bermula 1 Jun ini sehingga 31 Mei 2024.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak RM1 bilion tambahan kutipan cukai disasarkan menerusi program itu untuk cukai langsung bagi LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi cukai tidak langsung.

Beliau berkata, permohonan dibuka kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada dengan manfaat pengenaan penalti pada kadar sifar peratus atau tanpa dikenakan penalti.

"Pembayar cukai dinasihatkan untuk hadir ke pejabat LHDN apabila program mula dibuka kepada mereka yang layak sebelum aktiviti audit dan siasatan iaitu prosedur biasa LHDN diambil ke atas mereka.

"Program ini dijangka membabitkan sebanyak 50,000 pembayar cukai dengan anggaran kutipan cukai berjumlah RM1 bilion.

"LHDN akan menerima dengan suci hati pelaporan yang dibuat dan semakan audit tidak akan dibuat bagi tahun yang dilaporkan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan LHDN 2023 di Dewan Bangsawan, Menara Hasil, Ibu Pejabat LHDN, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi dan Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan, Datuk Che Nazli Jaapar.

Menurutnya, selain program PPSS itu kerajaan menerusi LHDN akan melaksanakan strategi perluasan hasil cukai dan kutipan dengan lebih berkesan melalui Projek e-Invois Kebangsaan.

"Melalui projek e-Invois, saya kira sudah tiba masanya satu mekanisme terbaik perekodan secara real-time perlu ada bagi menjadikan maklumat perniagaan lebih telus, sekali gus dapat menangani pelarian cukai dan aktiviti ekonomi bayangan (shadow economy).

"Sekiranya kedudukan fiskal dan kewangan negara terus dikukuhkan, sudah pasti ia mengupayakan pihak kerajaan meneruskan agenda pembangunan dan memperbanyakkan lagi pendekatan 'Rahmah' yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Katanya, tahun lalu mencipta sejarah kutipan cukai langsung tertinggi negara pada angka RM175.4 bilion atau peningkatan 21.75 peratus berbanding kutipan tahun 2021 dan tahun ini menjadi hasrat LHDN untuk mencapai sehingga RM200 bilion.

"Itu (mengenai hasrat mengutip RM200 bilion cukai), biarlah bercita-cita setinggi langit, kalau tidak dapat mencapai langit paling kurang dapat menggapai awan.

"Tetapi kalau cita-cita setakat tinggi pokok kelapa sawit, jadi tiadalah tinggi pencapaiannya.

"Kita ingin kutip seberapa banyak hasil daripada mereka yang layak dan kemudian kita ingin memberikan seberapa banyak hasil itu kembali kepada seberapa ramai rakyat yang memerlukan.

"Selain daripada bantuan kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), tujuan hasil yang dikutip melalui LHDN ini juga adalah untuk pembangunan negara antaranya membaiki sekolah daif, hospital dan klinik, membina jambatan dan jalan raya baru serta sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 10:25 PM
AHMAD diiringi Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi bergambar bersama keluarga asnaf dan wakil rumah anak yatim ketika majlis Iftar dan penyerahan sumbangan di Menara Hasil. FOTO Hairul Anuar Rahim.
AHMAD diiringi Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi bergambar bersama keluarga asnaf dan wakil rumah anak yatim ketika majlis Iftar dan penyerahan sumbangan di Menara Hasil. FOTO Hairul Anuar Rahim.