BANGUNAN LHDN di Cyberjaya. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN LHDN di Cyberjaya. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Rata-rata pembayar cukai menyifatkan cadangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mahu memperkenalkan e-invois sebagai pengganti resit untuk pelepasan cukai adalah selari dengan teknologi semasa selain memudahkan rekod disimpan.

Pengawal keselamatan Muhamad Nur Syawal Abdullah, 38, berkata, lupa di mana letak resit adalah masalah utama dengan resit fizikal.

Beliau berkata, akibatnya dia pernah terpaksa membayar semula lebihan cukai diterimanya kepada LHDN kerana gagal menunjukkan resit apabila diminta.

"Eloklah dilaksanakan e-invois itu sebab kita manusia biasa selalu terlupa, lebih-lebih lagi resit.

"Saya menyokong usaha kerajaan memudahkan rakyat dengan inisiatif seumpama ini," katanya ketika tinjauan Harian Metro di ibu negara hari ini.

Sementara itu, perunding kewangan Salwany Saleh, 43, berkata, penyimpanan rekod menerusi sistem e-invois itu amat memudahkan dalam era urusan sekarang kebanyakannya dilakukan dalam talian.

"Mudahlah sebab macam saya yang kerja selalu di keluar, senang apabila semuanya dilakukan online (dalam talian).

"Penyimpanan rekod e-invois ini sepatutnya sudah lama dilaksanakan," katanya.

Media semalam melaporkan, kesulitan dihadapi pembayar cukai, termasuk syarikat dan individu untuk menyimpan invois dan resit sehingga tujuh tahun sebagai bukti untuk pelepasan cukai akan selesai akhir tahun ini.

Ia berikutan, bermula tahun depan LHDN bercadang memperkenalkan inisiatif baharu dikenali e-invois bagi memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, dilaporkan berkata, e-invois akan membantu simpanan rekod kewangan pembayar cukai yang dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya mulai awal tahun depan.

Mohd Nizom berkata, ketika ini pihaknya sedang menyediakan infrastruktur berkaitan untuk melaksanakan sistem e-invois.

Mengikut Seksyen 82A Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana individu yang perlu memberikan butiran pendapatan bagi tahun taksiran di bawah akta berkenaan, perlu menyimpan dan mengekalkan dengan selamat dokumen-dokumen yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun dari akhir tahun taksiran berkenaan bagi tujuan memastikan pendapatan yang boleh dikenakan cukai dan cukai yang perlu dibayar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 3:40 PM