MOHD Nizom menyampaikan plak cenderamata penghargaan kepada wakli agensi media. FOTO Ihsan LHDN.
MOHD Nizom menyampaikan plak cenderamata penghargaan kepada wakli agensi media. FOTO Ihsan LHDN.
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mensasarkan untuk melaksanakan sistem e-invois kepada kumpulan pertama pembayar cukai secara mandatori, selewat-lewatnya 1 Jun tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata kumpulan pertama itu dijangka membabitkan syarikat besar yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM100 juta.

Mengulas lanjut katanya, sehingga kini LHDN sedang dalam proses membangunkan infrastruktur membabitkan teknologi maklumat (IT) bagi memastikan sistem e-invois itu dapat dilaksanakan berdasarkan tempoh masa ditetapkan.

"Kita sudah ada tempoh masa bagi pelaksanaan ini... sekarang ini kita sedang membangunkan infrastruktur kerana akan ada hubungan antara sistem perniagaan dengan LHDN, kalau mereka keluarkan invois, akan ada rangkaian dengan LHDN dan sebagainya.

"Perancangan kita terhadap kumpulan pertama, bermula selewat-lewatnya 1 Jun 2024, tetapi kalau kita boleh siapkan struktur lebih awal, mungkin ia akan jadi projek perintis dulu namun kita akan jadikan ia mandatori mengikut jadual pada Jun tahun hadapan," katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu, Mohd Nizom menyampaikan plak penghargaan kepada 55 agensi media melalui Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media LHDN, hari ini.

Bulan lalu, LHDN bercadang memperkenalkan inisiatif baharu dikenali e-invois bagi memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.

Pada masa sama, Mohd Nizom berkata, pemilihan syarikat besar sebagai kumpulan pertama adalah berikutan mereka sudah mempunyai sistem dalam organisasi masing-masing, sekali gus tidak perlu membangunkan sesuatu yang baharu bagi tujuan pelaksanaan e-invois.

"Apa yang kita akan buat ialah menghubungkan apa yang mereka ada dengan LHDN supaya maklumat itu boleh sampai.

"Invois yang disediakan oleh syarikat akan melalui proses validasi di LHDN kemudian baru kepada pelanggan...jadi dia dan pelanggan pun ada rangkaian secara dalam talian, tiada penghantaran invois secara manual atau e-mel," katanya.

Beliau berkata, apabila sistem e-invois semakin stabil selepas pelaksanaan terhadap kumpulan pertama, peringkat kedua pula akan membabitkan syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM50 juta pada tahun seterusnya.

Katanya, LHDN juga akan mengadakan sesi taklimat bersama media berhubung pelaksanaan sistem terbabit bagi memudahkan maklumat disampaikan kepada golongan sasar.

Sementara itu, Mohd Nizom berkata, pihaknya mensasarkan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun ini, bayaran balik e-Filing, boleh dibuat seawal sehari selepas permohonan tuntutan dihantar.

"Pematuhan masa nyata (real time compliance) ini kita harap ia boleh dipendekkan, sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan sekarang dua minggu...sekiranya semua berjalan baik, ia boleh dipercepatkan lagi.

"Nak letak tempoh masa mungkin susah namun kita mengharapkan ia menjadi lebih cepat sebab kita nak keyakinan orang bayar cukai itu tinggi....kita harapkan dalam dua hingga tiga tahun lagi," katanya.

Pembayar cukai individu dan selain individu boleh mengemukakan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 melalui e-Filing sejak 1 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 11:34 PM