GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memantau maklumat individu yang menyimpan wang di luar negara dan memastikan mereka membayar cukai.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, penelitian itu dibuat berdasarkan maklumat diterima secara berkala daripada pihak berkuasa cukai seluruh dunia.

"Semakan dan risikan akan dilaksanakan bagi memastikan cukai dibayar terhadap simpanan yang berada di luar negara sekiranya simpanan itu berpunca atau hasil daripada aktiviti di dalam negara.

"Jika ada indikasi ketidakpatuhan cukai kes akan disalurkan kepada pasukan audit dan siasatan untuk tindakan lanjut," katanya ketika berucap pada program Sesi Libat Urus LHDN Bersama Media di Sunway Putra Hotel di sini, pada Khamis.

Abu Tariq berkata, pihaknya juga akan menyemak akaun luar negara serta aset individu berkenaan dalam negara sebelum membuat perbandingan dengan pengisytiharan cukai.

"Jadi, kalau ia macam tidak setimpal dengan aset dan pendedahan, kita akan buat semakan lanjut untuk perkara-perkara berkenaan.

"Kita akan semak sama ada simpanan yang mereka ada itu sudah dibayar cukai. Kalau ia berpunca dari Malaysia dan belum dibayar cukai, kita ada sebab untuk buat semakan lanjut untuk pastikan bahawa simpanan itu sepatutnya sudah dibayar cukai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Tariq berkata, 64,748 kes pengakuan sukarela dengan jumlah taksiran atau duti bernilai RM573.476 juta membabitkan pembayar cukai baharu dan sedia ada menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 setakat 31 Januari lepas.

Katanya, program yang diperkenalkan pada 1 Jun 2023 itu bakal berakhir pada 31 Mei depan.

"Pembayar cukai yang menyertai program ini tidak dikenakan penalti, pelaporan mereka akan diterima dengan suci hati, dan tiada semakan lanjut dilakukan oleh LHDN untuk laporan pendapatan bayaran cukai yang dibuat," katanya.

Selain itu, Abu Tariq berkata, kerajaan mengumumkan pelaksanaan e-Invois secara mandatori bagi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024 diikuti oleh pembayar cukai RM75 juta ke atas bermula 1 Januari 2025 dan yang lainnya pada 1 Jun 2025.

"Pelaksanaan secara berperingkat ini dapat pembayar cukai meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan dan serta tahap pematuhan pembayar cukai, mengurangkan proses manual dan kesilapan, dan memudahkan urusan pelaporan percukaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:53 AM