Gambar hiasan
Gambar hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Cadangan supaya akta baharu lebih menyeluruh diwujudkan bagi membanteras sindiket penipuan atau scam disifatkan wajar berikutan kaedah penipuan yang kini dipelbagaikan.

Penganalisis jenayah yang juga Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, jika kerajaan mahu menggubal undang-undang yang khusus berkaitan jenayah itu, ia perlu mengikut keadaan semasa.

"Pengkhususan undang-undang untuk scam atau penipuan yang kita mahu laksanakan perlulah mengikut keadaan semasa yang membolehkan kita menangani isu itu.

"Kita tak mahu terkebelakang kerana di masa hadapan lebih banyak penipuan dengan pelbagai cara yang penipu akan lakukan," katanya hari ini.

Beliau berkata, walaupun di negara ini sudah ada pelbagai undang-undang bagi menangani masalah itu, namun ia boleh diperkemaskan lagi.

"Ini kerana ada kerana undang-undang boleh dipertikai sehingga orang yang bersalah tak menjadi bersalah. Jadi eloklah buat satu undang-undang khusus serta melibatkan hukuman lebih berat.

"Kita tidak boleh menganggap penipuan seumpamanya sebagai masalah kecil sebab ia membabitkan bukan sahaja kerugian kepada individu, syarikat malah kepada ekonomi negara," katanya.

Shahul Hamid mendakwa Malaysia menjadi hab kepada sindiket penipuan antarabangsa menjalankan kegiatan haram, termasuk sesetengah kes yang perancang utamanya adalah warga asing seperti dari China, Afrika dan Eropah.

"Jadi mangsa scam ini juga bukanlah hanya dari dalam negara malah rakyat luar negara," katanya.

Semalam, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dilapor menggesa satu akta baharu yang menyeluruh diwujudkan dalam usaha membanteras sindiket penipuan atau scam.

Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata, langkah itu dapat menambah baik undang-undang sedia ada yang mempunyai kelompongan sehingga dieksploitasi pihak sindiket.

Dewan Rakyat baru-baru ini dimaklumkan, lebih RM2.9 bilion nilai kerugian atau 89,798 kes berhubung jenayah penipuan atas talian direkodkan bagi tahun 2017 hingga Jun 2022.

Kes penipuan itu dikategorikan seperti Macau Scam, Love Scam, African Scam, Tipu Pinjaman Tidak Wujud, Tipu SMS dan Belian Online.

National Scam Response Center (NSRC) pula merekodkan kerugian sejumlah RM52.4 juta akibat sindiket penipuan dalam talian di Malaysia berdasarkan keseluruhan laporan yang diterima semenjak Oktober 2022 hingga Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 12:27 PM