Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: 156 kes jenayah penipuan Macau Scam membabit kerugian berjumlah RM19.8 juta bagi tempoh Januari hingga April lalu di Selangor adalah jumlah membimbangkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan transaksi secara dalam talian sama ada dengan menyamar sebagai penjawat awam atau pembelian barangan yang tidak wujud.

Katanya, pemerhatian pihaknya turut mendapati mangsa terdiri daripada semua golongan termasuk korporat dan kakitangan kerajaan.

"Sepanjang tempoh Januari hingga April lalu, sebanyak 156 kes penipuan Macau Scam direkodkan dengan kerugian melebihi RM19 juta.

"Kes paling tinggi serta membabitkan kerugian yang besar membabitkan sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH).

"Situasi ini membimbangkan yang mana ia menunjukkan masih ramai mangsa terpedaya dengan sindiket ini justeru sesuatu perlu dilakukan," katanya pada Sidang Media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, punca utama kes penipuan masih berleluasa adalah kerana sindiket ini membuat mangsa panik sekaligus mempercayai atau terpengaruh dengan tipu daya mereka.

Katanya, undang-undang sedia ada (Seksyen 420 Kanun Keseksaan) juga perlu dipinda seiring dengan peredaran zaman yang mana kini kaedah pemindahan wang banyak dilakukan secara dalam talian.

Jelasnya, tindakan undang-undang turut diambil terhadap pemilik akaun (keldai akaun) kerana membenarkan akaun mereka digunakan pihak lain bagi tujuan penipuan.

Sementara itu, Arjunaidi memaklumkan pihaknya menyokong penuh sekiranya 554 pelatih Kor Suksis di empat universiti di Selangor mahu terus menabur bakti bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kesemua pelajar di empat universiti termasuk UiTM itu amat digalakkan menyertai bidang kepolisan sama ada pegawai atau anggota dan mereka sentiasa dialukan untuk menjadi sukarelawan polis selepas tamat pengajian kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 3:46 PM