GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Perundangan tidak selari dengan keadaan dan kemajuan teknologi semasa menyebabkan penipuan alam maya semakin berleluasa sehingga negara ini seolah-olah sudah menjadi sarang sindiket penipuan atau scam.

Pakar geostrategis Dr Azmi Hassan berkata, bukan sahaja rakyat tempatan malah warga asing akan mengambil peluang berikutan kelemahan perundangan ini.

Mengulas mengenai dua lelaki warga United Kingdom (UK) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, semalam kerana terbabit sindiket penipuan pelaburan antarabangsa dengan kerugian lebih RM52,000 dalam kes itu, Azmi berkata tidak mustahil ada banyak lagi kes seumpamanya.

"Tetapi kalau kita lihat kes itu, ia sudah lama berlaku iaitu daripada 2016 lagi, tetapi hanya kini diambil tindakan. Mesti ada banyak lagi kes yang serupa seperti ini.

"Cuma bukan pihak penguatkuasa tak tahu namun perundangan itu agak longgar dan lemah menyukarkan lagi pihak agensi penguatkuasa mengambil tindakan," katanya.

Berdasarkan fakta kes, sindiket penipuan itu bertapak di sekitar Georgetown sejak 2016 dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan operasi dengan bantuan beberapa agensi lain pada 21 Februari lalu, serentak di Lembah Klang.

Op Tropicana itu menyerbu beberapa premis di Pulau Pinang dan Lembah Klang sebagai 'boiler room' atau pusat operasi sindiket dan daripada siasatan, sindiket yang dianggotai tertuduh didapati menipu ribuan mangsa di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, hakikatnya penipuan atau sindiket scam terutama sekali yang dilakukan oleh rakyat asing tidak sepatutnya berleluasa atau dibiarkan berpanjangan hingga lebih lima tahun lamanya.

"Agensi penguatkuasa dalam hal ini perlu lebih peka lagi. Tetapi agak menarik juga kerana dalam kes ini agensi penguatkuasa SPRM yang mengambil tindakan dalam penipuan di alam maya.

"Mungkin perundangan dan kuatkuasa yang dimiliki oleh SPRM lebih kukuh berbanding dengan agensi-agensi lain. Tetapi hakikatnya adalah kerjasama antara SPRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kementerian berkaitan amat diperlukan dalam membendung kes seumpamanya sekali gus mengelak Malaysia jadi sasaran sarang sindiket scam antarabangsa," katanya.

Turut berkongsi pandangan sama, penganalisis jenayah yang juga Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, jika kerajaan mahu menggubal undang-undang yang khusus berkaitan jenayah itu, ia perlu mengikut keadaan semasa.

"Pengkhususan undang-undang untuk scam atau penipuan yang kita mahu laksanakan perlulah mengikut keadaan semasa yang membolehkan kita menangani isu itu.

"Kita tak mahu terkebelakang kerana di masa hadapan lebih banyak penipuan dengan pelbagai cara yang penipu akan lakukan," katanya.

Shahul Hamid mendakwa Malaysia menjadi hab kepada sindiket penipuan antarabangsa menjalankan kegiatan haram, termasuk sesetengah kes yang perancang utamanya adalah warga asing seperti dari China, Afrika dan Eropah.

"Jadi mangsa scam ini juga bukanlah hanya dari dalam negara malah rakyat luar negara," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, hukuman yang dikenakan tidak setimpal menyebabkan jenayah scammer berleluasa dan semakin teruk di Malaysia.

Katanya, saban hari ada saja berita di media yang memaparkan kerugian orang ramai hingga jutaan ringgit.

"Satu Akta Anti Scamming Act dengan hukuman yang lebih keras perlu digubal untuk tujuan agar Malaysia tidak dilabel sebagai Syurga Scammer. Hukuman yang terlalu ringan termasuk melibatkan kes berprofil tinggi dalam operasi khas seperti dijalankan SPRM dan imigresen baru-baru ini akan menjadi amat tidak berkesan.

"Peguam Negara harus membuat rayuan supaya hukuman yang setimpal dijatuhkan oleh mahkamah di atas jenayah penipuan yang dilakukan sindiket penjenayah licik," katanya.

Musa yang juga Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkata, langkah mewujudkan akta khhusus itu dapat menambah baik undang-undang sedia ada yang mempunyai kelompongan sehingga dieksploitasi pihak sindiket penipuan atau scam.

Untuk rekod, Dewan Rakyat pernah dimaklumkan, lebih RM2.9 bilion nilai kerugian atau 89,798 kes berhubung jenayah penipuan dalam talian direkodkan bagi tahun 2017 hingga Jun 2022.

Kes penipuan itu dikategorikan seperti Macau Scam, Love Scam, African Scam, Tipu Pinjaman Tidak Wujud, Tipu SMS dan Belian Online.

National Scam Response Center (NSRC) pula merekodkan kerugian sejumlah RM52.4 juta akibat sindiket penipuan dalam talian di Malaysia berdasarkan keseluruhan laporan yang diterima semenjak Oktober 2022 hingga Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 2:33 PM