SINDIKET  mengumpan mangsa melalui platform dalam talian terutama media sosial.
SINDIKET mengumpan mangsa melalui platform dalam talian terutama media sosial.
minda

Rakyat negara ini yang menjadi mangsa kes penipuan scammer dilihat semakin membimbangkan.

Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini saja, data Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukti Aman menunjukkan 5,078 kes penipuan dalam talian dilaporkan di seluruh negara.

Justeru, anggota masyarakat perlu lebih waspada dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.

Tiga negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dikenal pasti sebagai antara lokasi panas kes penipuan terancang ini, dengan Selangor merekodkan kes tertinggi penipuan siber iaitu 1,050 kes, diikuti Kuala Lumpur (615) dan Johor (497) setakat 31 Mac lalu.

Secara umumnya, jenayah scammer ini membabitkan pelbagai jenis kes penipuan dalam talian, termasuk Macau Scam, Love Scam dan penipuan bomoh, khidmat pesanan ringkas (SMS), tanah, kad kredit, penyamaran, perniagaan serta pinjaman tidak wujud.

Ironinya, jenayah ini tidak kenal mangsa apabila hampir semua lapisan anggota masyarakat termasuk golongan profesional seperti doktor dan peguam turut menjadi mangsa sindiket yang sangat licik ini.

Misalnya, pada Mac lalu polis mendedahkan seorang doktor perubatan kerugian RM287,360 akibat ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Modus operandi yang sama juga menyebabkan seorang penternak ayam kerugian RM202,909 pada Disember lalu.

Secara prinsipnya, sindiket jenayah terancang ini menyasarkan mangsa mengikut kriteria sasaran yang dianggap mudah tertarik atau tertipu dengan ciri keuntungan yang banyak dalam masa singkat.

Manakala, antara faktor utama yang menyebabkan kita mudah tertipu ialah tamak dan ingin cepat kaya, menjadi mangsa peras ugut serta terpedaya dengan janji manis. Mangsa yang terbabit juga dikategorikan mempunyai sifat keterbukaan yang tinggi, kawalan diri yang rendah, mencari jalan mudah atau pintas dan majoriti mempunyai tahap pendidikan yang rendah.

Dalam pada itu kepesatan kemajuan teknologi serta kecenderungan rakyat untuk banyak berurusan dalam talian pula menjadi antara faktor yang turut memudahkan aktiviti penjenayah ini.

Ringkasnya, sindiket ini mencari dan mengumpan mangsa melalui platform dalam talian terutama media sosial.

Oleh kerana kes penipuan ini semakin membimbangkan, sudah sampai masanya untuk anggota masyarakat meningkatkan tahap kesedaran mengenai jenayah ini. Walaupun pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seringkali mengingatkan rakyat dan mengadakan pelbagai kempen kesedaran, namun jelas sekali masih ramai yang cuai, leka dan alpa.

Antara dua kes penipuan besar yang sering menjadi perhatian kita ialah Love Scam dan Macau Scam. Statistik menunjukkan wanita tempatan terus menjadi mangsa Love Scam apabila mudah tergoda dengan pujuk rayu anggota sindiket.

Kebiasaanya anggota sindiket akan menggunakan identiti palsu untuk mencari dan mengumpan wanita yang boleh menjadi sasaran mudah seperti yang kesunyian, berdepan masalah keluarga atau kematian suami yang meninggalkan harta. Jadi kita berharap wanita akan lebih waspada dan tidak mudah masuk jerat mereka.

Manakala, Macau Scam pula menggunakan modus operandi memperdaya mangsa dengan panggilan palsu hingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit. Kebiasaanya, sindiket beroperasi dengan cara menawarkan cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing pegawai polis atau agensi kerajaan serta pegawai bank negara atau bank komersial.

Macau Scam didalangi sindiket Taiwan serta China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan juga tempatan. Jadi anggota masyarakat perlu ada pengetahuan yang secukupnya untuk elak menjadi mangsa Macau Scam yang cukup terancang dan licik ini.

Antara tip untuk elak menjadi mangsa penipuan siber ialah jangan jawab panggilan daripada nombor telefon dari luar negara yang tidak dikenali, melainkan nombor itu adalah senarai kenalan kita yang biasa. Kita juga perlu berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi dengan orang lain, misalnya jangan berikan maklumat seperti nombor akaun bank, kata laluan perbankan online, kod CVV pada kad bank atau pun nombor TAC kepada pihak yang tidak dikenali.

Jika ada mana-mana pihak meminta maklumat berkaitan kad debit/kredit dan perbankan online, lebih baik kita tamatkan sahaja panggilan itu.

Bagi kes penyamaran sebagai pihak berkuasa pula, jika kita menerima panggilan daripada bank atau pihak penguat kuasa undang-undang mengenai sebarang masalah undang-undang kononnya membabitkan diri kita, catat segala butiran daripada pihak yang menghubungi kita dan maklumkan kepada mereka yang kita tidak dapat bercakap pada waktu itu dan akan menghubungi mereka semula.

Tip penting di sini ialah kita perlu bertenang, tidak takut dan panik. Selepas itu kita boleh semak nombor telefon bank atau pihak penguat kuasa undang-undang di laman web rasmi mereka seterusnya hubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Alternatif lain, kita boleh ke pejabat mereka untuk mendapatkan kepastian. Tuntasnya, rajin-rajin mengambil tahu dan membaca segala pendedahan yang dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan kes penipuan siber atau scammer ini supaya kita sentiasa waspada dan dapat melindungi diri dan keluarga.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 7:00 AM