Seramai 220 sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup menjayakan misi menanam 2,000 pokok bakau di sekitar Tanjung Piai, Johor, hasil idea Kumpulan UMW.
Seramai 220 sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup menjayakan misi menanam 2,000 pokok bakau di sekitar Tanjung Piai, Johor, hasil idea Kumpulan UMW.
Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tanamkan kefahaman berhubung pentingkan meningkatkan jumlah pokok paya bakau serta menyelamatkan bumi dari hakisan dan pencemaran global.

Itu antara inisiatif dilakukan Kumpulan UMW apabila membawa 220 sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup bagi menjalankan misi menanam 2,000 pokok bakau di sekitar Tanjung Piai, Johor.

Ia sebahagian Inisiatif Pucuk Hijau UMW (UGS) dalam meneruskan aktiviti penanaman di Tanjung Piai, Johor baru-baru ini.

Dengan kerjasama UMW Toyota Motor dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, program itu adalah sebahagian usaha di bawah Kumpulan UMW bermatlamat menanam sebanyak 300,000 pokok bakau di seluruh Malaysia.

Inisiatif ini mengukuhkan komitmen Kumpulan UMW ke arah melestarikan alam sekitar dan menyokong misi kerajaan Malaysia untuk mencapai 100 peratus neutral karbon menjelang 2050 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri, Raven Kumar Krishnasamy

yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melancarkan program penanaman bakau di Tanjung Piai yang turut dihadiri Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan UMW, Zailani Ali dan Yang Dipertua Majlis Bandaran Pontian Mohd Ezzuddin Sanusi.

Kumpulan disertai penuntut UTM dan pelajar SMK Sri Kukup meneruskan usaha menanam pokok bakau di seluruh negara bagi memenuhi sasaran 300,000 pokok bakau dengan separuh daripadanya ditanam pada tahun 2022.

Bakau memainkan peranan penting dalam menangani isu perubahan iklim kerana kajian menunjukkan bahawa ia boleh menyerap dua hingga empat kali lebih karbon berbanding hutan hujan yang sudah matang.

Selain itu, ia penting untuk ekosistem pantai yang sihat dan bertindak sebagai perisai terhadap bencana alam seperti banjir dan hakisan.

Zailani Ali berkata, Kumpulan UMW menyedari kepentingan hutan paya bakau ini kepada ekosistem negara dan mahu memainkan peranan dalam pemuliharaannya.

"Mempergiatkan aktiviti penanaman pokok merupakan antara sebagai salah satu inisiatif kami ialah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

"Kami sudah menanam pokok bakau di lapan negeri di Malaysia iaitu Selangor, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak dan kini Johor.

"Kumpulan UMW bekerjasama dengan Yayasan Hijau Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia untuk memastikan kejayaan dan kemampanan Inisiatif Pucuk Hijau UMW," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 9:20 PM