SUKARELAWAN UMWT dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia menanam anak pokok bakau minyak di Taman Semula Jadi Kuala Selangor. FOTO ihsan UMWT
SUKARELAWAN UMWT dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia menanam anak pokok bakau minyak di Taman Semula Jadi Kuala Selangor. FOTO ihsan UMWT
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tangani isu perubahan iklim dan ke arah karbon sifar melalui misi menanam sebanyak mungkin pokok bakau.

Ia adalah sebahagian komitmen kumpulan UMW Holdings Berhad ke arah mengekalkan kelestarian alam sekitar serta menyelamatkan pesisir pantai negara yang kian terhakis.

Usaha dilakukan bersama anak syarikatnya, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia baru-baru ini dizahirkan melalui penganjuran program penanaman pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor.

Program diketuai Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan UMW, Zailani Ali itu turut disertai 50 sukarelawan membabitkan petugas daripada kedua-dua organisasi.

Jurucakap UMW memaklumkan, pihaknya berjaya menanam hampir 600 anak pokok bakau minyak atau dikenali sebagai spesies Rhizophora Apiculata.

"UMW dan UMWT meneruskan usaha ini bagi menangani isu perubahan iklim dan menyumbang ke arah karbon sifar. Penanaman pokok adalah salah satu usaha ke arah mencapai matlamat ini.

"Sehingga 2021, hampir 35,000 pokok sudah ditanam Kumpulan UMW sejak inisiatif penanaman pokok digiatkan beberapa tahun lalu. Separuh daripada terdiri pokok ditahan adalah spesis pokok bakau.

"Mempergiatkan aktiviti penanaman pokok adalah antara salah satu inisiatif Kumpulan UMW untuk menangani pelepasan gas rumah hijau (GHG)," katanya.

Program terbaru ini membabitkan lokasi Taman Semula Jadi Kuala Selangor berkeluasan 296 hektar membabitkan hutan paya bakau, dataran pasang surut dan habitat hutan sekunder serta tempat perlindungan bagi spesies burung dan haiwan lain.

Di dalam hutan paya bakau itu, terdapat empat spesis bakau yang berbeza dan 13 jenis pokok bakau kesemuanya.

Kawasan bakau dan dataran pasang surut ini adalah sebahagian daripada kepelbagaian ekosistem yang mengitar semula nutrien dan menyediakan perlindungan terhadap tanah daripada terhakis.

Jurucakap UMW berkata, berikutan keadaan pokok bakau yang semakin berkurangan di negara ini, usaha pemuliharaan ekosistem hutan paya bakau ini perlu disegerakan kerana ia memainkan peranan yang penting bagi kestabilan ekosistem kawasan pantai dan kepelbagaian biologi serta sumber makanan hidupan.

"Kami ingin mempercepat dan meningkatkan usaha penanaman pokok ini pada masa yang akan datang, dengan kerjasama daripada UMWT dan Perodua.

"Selain itu juga, kami merancang memperluaskan kerjasama membabitkan agensi kerajaan dan negeri serta badan bukan kerajaan bagi memastikan kejayaan dan kemampanan terhadap usaha kami.

"UMW komited dengan sasaran neutraliti karbon sifar menjelang 2050 seperti yang terkandung dalam rangka kerja transformasi strategik CREST@2021 Kumpulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 7:29 PM