Khairulmizan Yahya


Kuantan: Kumpulan Syarikat UMW menyasarkan 300,000 pokok bakau akan ditanam menerusi Inisiatif Pucuk Hijau (UGS) di beberapa lokasi seluruh negara, tahun ini.

Ketua Pegawai Mobiliti dan Inovasi UMW Holdings Berhad, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, pokok bakau yang ditanam itu adalah tambahan kepada 2,600 pokok bakau yang ditanam di lokasi sama, tahun lalu.

"Menerusi inisiatif itu, kami memfokuskan kepada penanaman pokok bakau kerana ia mampu menyerap karbon lima kali ganda lebih baik berbanding pokok lain.

"Ia juga mengukuhkan komitmen Kumpulan UMW ke arah melestarikan alam sekitar dan menyokong misi kerajaan Malaysia untuk mencapai 100 peratus neutral karbon menjelang 2050," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Kumpulan UMW dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) meneruskan inisiatif itu dengan menanam kira-kira 2,000 pokok bakau di Sungai Cherating, dekat sini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Yusserie Zainuddin.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, program terbabit adalah antara inisiatif UGS hasil kolaborasi UMP dan UMW.

"Inisiatif ini akan mencetus semangat dan inspirasi dalam diri setiap individu untuk menjaga serta melindungi alam sekitar dengan pelaksanaan pelbagai projek termasuk penanaman pokok, pemuliharaan kawasan hijau, program kitar semula dan inisiatif pendidikan alam sekitar," katanya.

Lebih 200 sukarelawan UMP terdiri daripada pelajar menyertai program penanaman bakau berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 10:31 AM
Ketua Pegawai Mobiliti dan Inovasi UMW Holdings Berhad, Datuk Abdul Rashid Musa (duduk kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (duduk dua dari kanan) turut serta menanam pokok bakau sempena program Inisiatif Pucuk Hijau di Cherating, Kuantan. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA
Ketua Pegawai Mobiliti dan Inovasi UMW Holdings Berhad, Datuk Abdul Rashid Musa (duduk kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (duduk dua dari kanan) turut serta menanam pokok bakau sempena program Inisiatif Pucuk Hijau di Cherating, Kuantan. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA