ANTARA aktiviti Perodua  terhadap pemuliharaan alam semula jadi.
ANTARA aktiviti Perodua terhadap pemuliharaan alam semula jadi.
Oleh Lizam Ridzuan


RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) meneruskan komitmennya terhadap pemuliharaan alam semula jadi menerusi penganjuran Program Penanaman Pokok Perodua di Taman Alam Kuala Selangor di Kuala Selangor baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata Program tanggungjawab sosial korporat ini adalah kesinambungan daripada Inisiatif Pucuk Hijau UMW (UGS) yang diperkenalkan pada suku keempat 2021, dengan sasaran untuk menanam sebanyak 300,000 pokok menjelang akhir 2023.

"Pokok bakau adalah bahagian penting di dalam ekosistem Malaysia kerana ia membantu melindungi tebing sungai daripada risiko alam sekitar, terutamanya daripada banjir dan tsunami.

"Selain itu, pokok bakau melindungi kualiti air dengan menyingkirkan nutrien dan bahan pencemar daripada aliran air ribut sebelum sampai ke habitat rumput laut dan terumbu karang selalin menjadi tempat habitat buat ikan-ikan komersial dan kerang-kerangan, sekali gus menyumbang kepada limpahan makanan laut tempatan.

"Memandangkan banyak manfaat yang ada pada pokok bakau, Perodua memutuskan untuk bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia bagi aktiviti penanaman pokok sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat kami," katanya.

Sejak pelancaran inisiatif berkenaan sehingga kini, kira-kira 174,000 pokok ditanam dan baki 133,000 pokok lagi dijangka akan ditanam menjelang akhir tahun ini.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Noor Zakiyah Hasan dan Pengurus Besar Divisyen Perhubungan dan Komunikasi Korporat, Sulasi Haji Mahadi.

Kira-kira 120 sukarelawan Perodua terlibat di dalam program yang berlangsung selama sehari itu.

Beliau menambah Perodua kini sedang melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan program seumpama ini adalah penting kerana ia mencerminkan komitmen syarikat ke arah mencapai matlamat itu.

"Acara penanaman pokok ini juga berkaitan dengan salah satu matlamat SDG iaitu matlamat nombor 15, Hidupan Atas Darat. Objektifnya adalah untuk mencegah kehilangan biodiversiti, menghentikan degradasi tanah, menghentikan penggurunan,

melindungi, memulih, dan menggalakkan penggunaan mampan ekosistem darat serta mengurus hutan secara mampan,"

"Justeru, aktiviti penanaman pokok anjuran Perodua ini dapat membantu menyebarkan lebih banyak kesedaran untuk memulihara bumi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 5:54 PM