SUKARELAWAN bergambar selepas selesai menanam pokok bakau  di Hutan Simpan Paya Bakau Kubang Badak, Langkawi, Kedah.
SUKARELAWAN bergambar selepas selesai menanam pokok bakau di Hutan Simpan Paya Bakau Kubang Badak, Langkawi, Kedah.
Oleh Suliati Asri


Program penanaman pokok menerusi Inisiatif Pucuk Hijau UMW (UGS) di Hutan Simpan Paya Bakau Kubang Badak, Langkawi, Kedah baru-baru ini mencatatkan kejayaan apabila 5,900 pokok bakau berjaya ditanam sekali gus menjadikan jumlah pokok bakau ditanam tahun ini 12,000 pokok termasuk 6,100 pokok ditanam di Tanjung Tuan pada Mac lalu.

Kejayaan itu membuktikan komitmen UMW Toyota Motor terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pembabitannya secara aktif dalam inisiatif UGS, iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan UMW dipacu oleh UMW Toyota Motor dan Perodua sejak tahun 2021.

Kejayaan itu juga tidak hanya membuktikan keazaman syarikat itu untuk mencipta masa depan lebih hijau dan mampan, tetapi sebagai sebahagian daripada usaha penting mendefinisikan semula mobiliti.

Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K. berkata, karbon adalah musuh nombor satu.

Oleh itu, menurutnya menjaga alam sekitar tanggungjawab bersama demi masa depan yang lebih baik.

"Melalui inisiatif seperti UGS, kami komited merealisasikan falsafah Move Your World, yang mendefinisikan semula mobiliti sebagai aspek penting dalam kehidupan seharian," katanya.

Selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG) dan menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Kebangsaan 2020-2050, inisiatif ini menjadi salah satu langkah penting ke arah mencipta masa depan lebih hijau.

Dengan tema Green Malaysia. Our Trees. Our Life, inisiatif ini dapat menangani isu perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar.

Ravindran berkata, inisiatif ini selari dengan komitmen Toyota Global untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050.

Katanya matlamat itu juga merangkumi pengurangan pelepasan CO2 secara praktikal.

"Oleh itu, adalah penting untuk kita mengambil pendekatan berbilang cara termasuk menggalakkan penggunaan Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV).

"Menerusi usaha penanaman pokok dan pengurangan pelepasan karbon pula, UMW Toyota Motor sememangnya aktif menyumbang kepada misi yang lebih besar iaitu mencipta masa depan lebih mampan.

"Toyota benar-benar yakin dengan kuasa inovasi. Justeru, kami bukan sahaja untuk mencapai neutraliti karbon tetapi juga mewujudkan masyarakat yang lebih terhubung, di mana individu boleh membuat pilihan yang sesuai dengan nilai dan gaya hidup mereka," katanya.

Penumpuan strategik kepada usaha penanaman pokok bakau juga meningkatkan kesan positif terhadap alam sekitar.

Ini kerana paya bakau tidak hanya bertindak sebagai pelindung semula jadi terhadap hakisan tetapi meningkatkan kualiti air dengan menapis bahan pencemar dan menyediakan habitat penting untuk hidupan liar.

Justeru, penyertaan UMW Motor dalam inisiatif UGS ini turut membuktikan peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab secara sosial serta komited ke arah mencipta masa depan yang lebih mampan dan hijau untuk generasi akan datang.

Pada masa sama, UMW Motor juga komited untuk mengurangkan jejak ekologi sekitarnya dan memberikan kesan positif kepada masyarakat.

Program inisiatif UGS yang diadakan baru-baru ini turut disertai pelajar dan guru dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, penduduk Kampung Kubang Badak, ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan sukarelawan berdedikasi yang terdiri dari kalangan kakitangan UMW Toyota Motor dan pengedarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 7:51 AM