ANWAR bertemu dengan beberapa pemimpin agama lain selepas menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat Islam di Pusat Islam Thailand, hari ini. FOTO Bernama
ANWAR bertemu dengan beberapa pemimpin agama lain selepas menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat Islam di Pusat Islam Thailand, hari ini. FOTO Bernama
Adha Ghazali

Bangkok: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan di Malaysia seperti di Thailand.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini kerajaan masih menunggu hasil dapatan kajian termasuk cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.

Beliau bagaimanapun mengakui setakat ini belum ada sebarang perkembangan mengenai cadangan itu.

"Setakat ini ia (cadangan itu) tidak dipandang secara serius. Kita akan tunggu dapatan serta cadangan Kementerian Kesihatan.

"Selain itu kita juga tunggu (laporan) dari sudut kesihatan kerana ia (penggunaan marijuana) juga membabitkan aspek keselamatan," katanya ketika bercakap kepada media Malaysia selepas lawatan dua hari ke negara ini.

Sebelum ini, KKM dilapor sedia memberi kerjasama kepada pihak industri dan ahli akademik bagi menjalankan kajian klinikal berkaitan penggunaan CBD atau cannabidiol bagi tujuan perubatan.

Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin berkata, kajian itu boleh diselaraskan dengan kerjasama antara Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dan Clinical Research Malaysia (CRM).

Bagaimanapun, sehingga kini kajian makmal terhadap ganja perubatan belum pernah dijalankan KKM.

Undang-undang negara ketika ini tidak akan menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan sekiranya mematuhi beberapa peraturan.

Undang-undang berkaitan adalah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 6:38 PM