DR Lee  (dua kiri) meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di Kampung Rapat Jaya Tambahan, Ipoh.
DR Lee (dua kiri) meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di Kampung Rapat Jaya Tambahan, Ipoh.
Zahratulhayat Mat Arif


IPOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan pertimbangkan permohonan syarikat perubatan yang ingin menggunakan marijuana untuk perubatan sekiranya mampu menjalankan penyelidikan sendiri bagi membuktikan keberkesanan dan keselamatannya.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, syarikat perubatan perlu melakukan kajian sendiri dan bukan merujuk kajian dari luar bagi mengenal pasti sejauh mana keberkesanan dan keselamatan penggunaan marijuana.

“Apabila kita mahu import ubat, sama juga dengan paracetamol atau ubat lain, yang penting kita tidak boleh guna kajian luar. Kita perlu berpandukan kepada dos yang dibenarkan dalam kajian itu, penyediaan ubat yang digunakan dengan lebih spesifik.

“Jadi, syarikat farmasi boleh import ubat itu mengikut dos, penyediaan yang sudah buat kajian. Kalau kita mahu gunakan (marijuana) sebagai ubat, kita mesti ada standard dari segi penyediaan dan dos.

“Jadi apabila syarikat perubatan mahu menggunakan marijuana sebagai ubat, mereka harus menghantar beberapa maklumat (hasil kajian sendiri) bagi membuktikan beberapa perkara, nombor satu, adakah ia selamat dan adakah ia berkesan?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program gotong-royong di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini, semalam.

Dr Lee mengulas langkah kerajaan Thailand menjadi negara pertama di Asia membenarkan penggunaan marijuana dalam perubatan.

Katanya, sekiranya ada maklumat yang cukup bagi menunjukkan penggunaan marijuana selamat dan berkesan bagi keadaan tertentu, kementerian boleh mempertimbangkan berdasarkan petunjuk berkenaan.

“Banyak kajian (kajian luar berkenaan marijuana) dilakukan bagi rawatan kanser, kemurungan tetapi kita mahu melihat bukti itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tiada syarikat perubatan yang membuat permohonan dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (ARFN), kementerian tidak akan membuat sebarang keputusan kerana penggunaan marijuana adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jadi memilikinya adalah salah, menjualnya adalah salah, malah ia perlu didaftarkan.

“Apabila syarikat perubatan ingin mendaftar, mereka perlu mendapatkan borang, yang mana asal marijuana itu, jumlah dos, sama ada dalam bentuk pil atau serbuk,” katanya.

Katanya, penggunaan marijuana dalam perubatan sudah dilakukan beberapa tahun dulu, tetapi ditarik balik berikutan penggunaan bahan itu kurang.

Beliau berkata, beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum menggunakan marijuana untuk tujuan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 8:42 AM