TUMBUHAN herba, hemp.
TUMBUHAN herba, hemp.
Hairulazim Mahmud


KERAJAAN akan membenarkan penanaman hem, sejenis tumbuhan spesis ganja bagi tujuan penyelidikan industri, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kebenaran berkenaan berdasarkan Seksyen 6B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ia terhad kepada pegawai awam dari Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Katanya, orang awam tidak dibenarkan menanam tumbuhan berkenaan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 jika berbuat demikian.

“Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memberi izin kepada pegawai awam bagi tujuan berkenaan.

“Ia untuk industri bukan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Saintifik Tahunan Persatuan Perubatan Toksikologi Asia Pasifik 2019 (APAMT) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM Dr Ramli Zainal.

Kongres itu dianjurkan bersama Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Toksinologi Malaysia dan Kolej Pakar Perubatan Kecemasan, Akademi Perubatan Malaysia.

Hem ditanam bagi menghasilkan serat atau gentian untuk kegunaan industri fabrik, kosmetik dan makanan.

Dr Dzulkefly berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu kertas cadangan daripada KATS dan MOA.

“Ya, kita sedang beri izin dan ini bergantung kepada dapatan kajian oleh kementerian terbabit mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sangat berhati-hati dalam isu berkenaan supaya tidak timbul kekeliruan selain disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita tahu ramai teruja tetapi kami tidak mahu jadi penghalang.

“Kita mahu memudah cara, dalam Kabinet pun saya sudah membincangkan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Ramli berkata, penanaman hem hanya untuk penghasilan serat saja bagi kegunaan industri kosmetik dan makanan.

Menurutnya, KKM sudah menyediakan garis panduan berkaitannya untuk mengawal penanaman hem bagi tujuan itu.

“Hanya tujuan industri hem saja dibenarkan, bukan perubatan,” katanya.

Semalam Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi diminta mempertimbangkan cadangan penanaman ganja bagi tujuan perubatan di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Mohd Shaid Rosli yang membangkitkan isu itu kali kedua berkata, ganja mempunyai manfaat besar dalam bidang perubatan pada masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 6:12 PM