GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap beberapa dakwaan penyelewengan mengakibatkan kerugian sebanyak RM157 juta kepada UiTM Holdings.

Ia susulan pendedahan yang dibuat berrhubung dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan dalam pengurusannya sehingga membawa kepada kerugian besar itu selama empat tahun.

Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu khususnya membabitkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat Uitm Holdings sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tumpuan dan fokus siasatan adalah terhadap kes-kes yang disyaki membabitkan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Menurutnya, isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang dikatakan itu.

"Sekiranya berlaku rasuah dan penyelewengan maka ia tidak akan terlepas dari siasatan SPRM. Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan membabitkan perbuatan jenayah.

"Ia juga membabitkan isu tatakelola dan pengurusan yang lemah. Jika kita lihat ia berkaitan jenayah khususnya rasuah maka kertas siasatan akan dibuka," katanya mengulas dakwaan yang dibuat oleh media berhubung ketirisan yang berlaku di UiTM Holdings.

Media baru-baru ini melaporkan UiTM Holdings mengalami kerugian sebelum cukai terkumpul sebanyak RM157 juta selama empat tahun iaitu bagi tahun-tahun 2017, 2018, 2019 dan 2021. Syarikat itu tidak membentangkan rekod kewangannya bagi tahun 2020.

Menurut laporan itu, majoriti kerugian ditanggung daripada pelaburan dalam penerbitan filem tempatan, manakala selebihnya berkaitan dengan kepentingan dalam sebuah resort di Seksyen 7, Shah Alam, yang telah ditutup.

Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Mohd Janor memberitahu media bahawa universiti itu akan bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan.

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin turut mengalu-alukan siasatan itu, dan berkata kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran dan ketidakpatuhan garis panduan serta undang-undang yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 1:17 PM