Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan pertemuan dengan UiTM Holdings bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku, sebagaimana laporan yang didedahkan mengenai kerugian sebanyak RM157 juta.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, pertemuan akan dilakukan minggu ini sebelum beliau bertemu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki untuk siasatan lanjut.

"UiTM Holdings ini sebagai entiti perniagaan yang mereka lakukan untuk menjana pendapatan dan kita memberi ruang dan menganggapnya satu aktiviti yang boleh membantu meningkatkan pendapatan sesebuah universiti.

"Bagaimanapun, harus ada kefahaman bahawa UiTM Holdings bukan UiTM tetapi sebagai entiti perniagaan.

"Fungsi utama UiTM adalah pengajaran, mengeluarkan graduan, melakukan penyelidikan, penerbitan serta kerja khidmat sosial yang tidak ada kaitan dengan aktiviti UiTM Holdings," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kemuncak Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kelantan yang turut dihadiri Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Prof Dr Abdol Samad Nawi, di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai diminta supaya tidak memandang serong kepada UiTM berhubung isu yang berlaku ketika ini.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menyiasat dakwaan penyelewengan UiTM Holdings yang turut membabitkan dana dan beberapa pelaburan sehingga kerugian jutaan ringgit.

Ia susulan UiTM Holdings dilaporkan rugi RM157 juta yang didakwa berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Raduan Che Rose (kanan) sedang melawat gerai jualan cendawan Majlis Kemuncak Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kelantan, Machang Kelantan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Raduan Che Rose (kanan) sedang melawat gerai jualan cendawan Majlis Kemuncak Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kelantan, Machang Kelantan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 4:25 PM