DR ZAINI Hussin (dua kiri) beramah mesra dengan petugas hospital di Majlis Khatan Perdana di Hospital Tanah Merah. FOTO Syaherah Mustafa
DR ZAINI Hussin (dua kiri) beramah mesra dengan petugas hospital di Majlis Khatan Perdana di Hospital Tanah Merah. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa

Tanah Merah: Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK) menjangkakan pengoperasian Hospital Bachok bermula pada Jun nanti.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya menerima penyerahan hospital pakar berkenaan pada Mei dan mengambil masa selama sebulan untuk persiapaan sebelum beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, sebelum ini berlaku kelewatan dalam projek menyiapkan Hospital Bachok atas beberapa faktor termasuk berhadapan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 beberapa tahun lalu.

"Bagaimanapun, aset serta perjawatan petugas di hospital terbabit sudah diperkemaskan yang mana sebahagian peralatan perubatan sudah dibawa masuk sebagai persiapan awal.

"JKNK akan memastikan perkhidmatan terbaik diberikan di hospital pakar berkenaan, bukan sahaja melalui pegawai perubatan serta kakitangan yang bertugas malah menggunakan peralatan serba baharu dan canggih.

"Insya-Allah, Hospital Bachok yang dibina atas tapak seluas 20.3 hektar itu akan memberi manfaat kepada lebih 160,000 penduduk di jajahan berkenaan,' katanya ketika ditemui di Majlis Khatan Perdana di Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Hospital Bachok dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember 2023 atau selewat-lewatnya Januari tahun ini selepas hampir tiga tahun pembinaannya terbengkalai.

Operasi hospital pakar itu membabitkan aset permulaan bernilai RM15.3 juta dengan 500 kakitangan.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, JKNK bersedia menjalankan operasi di bazar jualan makanan sepanjang Ramadan pada bulan hadapan bagi memastikan tidak berlaku kes keracunan makanan.

"Pasukan daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, akan turun padang mengambil sampel makanan yang dijual bagi menjamin keselamatan pembeli selain memastikan peniaga mempunyai permit perniagaan.

"Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri ditugaskan untuk memantau bazar di setiap daerah dan jajahan Kota Bharu menjadi tumpuan memandangkan lebih banyak bazar Ramadan akan dibuka di situ.

"Kami juga menyeru orang ramai agar bijak memilih gerai makanan yang bersih dan terjaga bagi mengelak sebarang insiden keracunan makanan atau sakit lain akibat membeli daripada gerai yang tidak menjaga kebersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 1:18 PM