Pemeriksaan ke atas 62 premis makanan termasuk kedai makan dan restoran sekitar Pasir Puteh oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dengan 12 daripada premis diarahkan tutup selama 14 hari kerana kotor. FOTO IHSAN Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Puteh.
Pemeriksaan ke atas 62 premis makanan termasuk kedai makan dan restoran sekitar Pasir Puteh oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dengan 12 daripada premis diarahkan tutup selama 14 hari kerana kotor. FOTO IHSAN Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Puteh.
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Dua belas premis perniagaan kotor membabitkan kedai makan dan restoran di daerah ini diarahkan tutup selama 14 hari.

Ini berikutan premis mereka tidak mencapai tahap kebersihan yang diarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penutupan premis makanan ini dibuat selepas Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK menjalankan Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 02/2024 di daerah ini, semalam.

Operasi membabitkan pemeriksaan ke atas 62 premis makanan di sekitar Bandar Pasir Puteh, sempadan Pasir Puteh-Terengganu, sekitar jalan-jalan utama Pasir Puteh sehingga sempadan Pasir Puteh-Kota Bahru yang menjadi tumpuan ramai.

"Antara notis dikeluarkan membabitkan 89 notis Seksyen 32B, memerintahkan kehadiran di mahkamah dikeluarkan kepada pemilik premis atas pelbagai kesalahan yang melanggar peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Lima notis 32B dikeluarkan di bawah kesalahan Peraturan 8, iaitu tidak mempamer perakuan pendaftaran di premis makanan," katanya pada kenyataan, hari ini.

Dr Zaini berkata, pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan kebersihan khususnya di premis makanan bagi menjaga keselamatan serta kualiti makanan di negeri ini.

"Kita nasihati orang ramai supaya memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 2:48 PM