Penguat kuasa operasi bersepadu JKNK dan Majlis Daerah Gua Musang memeriksa sebuah premis makanan di Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Penguat kuasa operasi bersepadu JKNK dan Majlis Daerah Gua Musang memeriksa sebuah premis makanan di Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 67 kompaun terhadap 41 premis makanan di bandar ini dan Chiku kerana didapati kotor dan tidak mengutamakan kebersihan.

Kompaun dikeluarkan dalam operasi bersepadu JKNK bersama Majlis Daerah Gua Musang yang berakhir tengah malam tadi.

Pengarah JKNK Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, seramai 70 petugas memeriksa dengan teliti semua premis makanan.

"Kita periksa 41 premis dan semuanya didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan boleh dikenakan kompaun.

"Terdapat satu premis yang ingkar arahan selepas ditegur kerana tidak bersih sebelum ini, dan pemilik diarah menutup premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Jika gagal berbuat demikian, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Razin mengingatkan semua peniaga supaya mengendalikan makanan dengan baik dan menjamin kualiti serta kebersihannya.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau dan bersedia mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang ingkar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 12:34 PM