ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan lelaki yang tersepit.
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan lelaki yang tersepit.
Norsyazwani Nasri


Sibu: Lelaki maut selepas jengkaut dikendali jatuh ke dalam gaung setinggi 400 meter di Jalan Assan Nunggang, Jalan KJD di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, John ak Singke, 62, maut akibat tersepit di dalam jentera berat itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 3.38 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pasukan operasi dimaklumkan kemalangan melibatkan sebuah jengkaut jatuh gaung dan terdapat seorang mangsa tersepit.

"Jarak ke lokasi dari jalan utama dalam anggaran 400 meter dan anggota berjalan kerana tiada akses untuk jentera ke lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan 'Air Lifting Bag'.

"Mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian pada jam 5.51 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 8:19 PM