Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat pemandu jengkaut yang tersepit di bawah jentera berat itu sejak tiga hari lalu. FOTO IHSAN JBPM
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat pemandu jengkaut yang tersepit di bawah jentera berat itu sejak tiga hari lalu. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Selepas hampir 36 jam, mayat pemandu jengkaut yang tersepit di bawah jentera berat itu di Uma Kahei, Belaga di pedalaman hulu Rajang, akhirnya berjaya dikeluarkan, petang tadi.

Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Ponsel, warga Indonesia berjaya dikeluarkan pada jam 3.53 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, usaha itu berjaya dilakukan dengan jengkaut bantuan yang digunakan untuk menstabilkan jengkaut yang menghimpit mangsa.

"Usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa menghadapi banyak kesukaran berikutan cuaca buruk dan jengkaut bantuan pula perlu membuat laluan sebelum sampai ke lokasi jengkaut yang terbalik yang berada kira-kira 30 meter di dalam gaung.

"Sehinggalah pada jam 3.40 petang hari ini, pihak bomba menggunakan peralatan Road Traffic Accidents (RTA) khas untuk kerja-kerja mengeluarkan mangsa apabila keadaan jengkaut yang terbalik berjaya distabilkan," katanya.

Mangsa tersepit di bawah jentera berat itu yang terbalik dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, Khamis lalu.

Ketika kejadian, mangsa sedang melakukan kerja meratakan tanah di kawasan itu untuk projek penanaman getah yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Jentera berat yang dikendalikannya dikatakan tiba-tiba menggelongsor sebelum terbalik ke dalam gaung sedalam kira-kira 30 meter.

Usaha untuk mengeluarkan mayat agak sukar berikutan faktor hujan yang menyebabkan struktur tanah kawasan itu lembut.

Operasi mengeluarkan mayat mangsa membabitkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dibantu lima anggota dari BBP Bintulu.

Selain itu, operasi turut disertai dua anggota polis dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 11:05 PM