AZHAR (tengah), Adawiyah (kiri) dan Amirul pada majlis tamat latihan dan penyampaian sijil pentauliahan inspektor  Kor SUKSIS UKM di Dewan Auditorium Pusat Genius@Pintar Negara UKM. FOTO Saifullizan Tamadi
AZHAR (tengah), Adawiyah (kiri) dan Amirul pada majlis tamat latihan dan penyampaian sijil pentauliahan inspektor Kor SUKSIS UKM di Dewan Auditorium Pusat Genius@Pintar Negara UKM. FOTO Saifullizan Tamadi
Amir Abd Hamid


Bangi: Seorang anak nelayan dan pembantu kedai runcit dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik (Keseluruhan), Skuad 15 /2019-2022 Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Suksis) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Muhammad Azhar Mohamad Roslee, 22, juga cemerlang dalam akademik selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dan Inovasi dengan Kepujian Kelas Pertama dua bulan lalu.

Menurutnya, cabaran terbesar sepanjang tiga tahun menyertai Kor Suksis adalah perlu membahagikan masa antara tanggungjawab hakiki sebagai siswa untuk pelajaran akademik dan program dalam Kos Suksis berkenaan.

"Selama tiga tahun saya di Kor Suksis UKM, banyak pihak membantu dan mendidik saya terutama sekali pegawai kehormat, pegawai kanan dan jurulatih.

"Sedikit sebanyak dapat membantu saya mendisiplinkan diri saya dalam menguruskan masa dan terutama sekali saya dapat mempelajari satu ilmu baru iaitu kepolisan untuk berkongsi dengan masyarakat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Suksis UKM, di sini, hari ini.

Majlis yang disempurnakan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed itu turut dihadiri Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan, Komuniti Bukit Aman Asisten Komisioner Dr Parasuraman Subramaniam.

Ayah Muhammad Azhar adalah nelayan manakala ibunya pembantu kedai runcit di Muar, Johor.

Anak bongsu daripada enam beradik itu bercita-cita untuk menyarung pakaian seragam Sang Saka Biru sebagai seorang pegawai polis tetap dan menabur bakti kepada negara.

Penerima Anugerah Pelatih Terbaik (Latihan Luar), Nur Adawiyah Zainal, 25, pula berkata, minat yang mendalam dalam bidang kepolisan menyebabkan dia tidak pernah terlepas satu pun pengisian Kor Suksis sepanjang tiga tahun penyertaannya.

"Bagi saya ia adalah satu peluang keemasan yang terbaik untuk mencari pengalaman sukarelawan sebab di luar sana bukan mudah untuk dapatkan pengisian program sebegitu. Saya memang minat bidang polis sejak sekolah.

"Saya ambil kursus bahasa isyarat. Saya akan menunggu pengambilan tetap Inspektor polis dan saya akan menggunakan kemahiran bahasa isyarat dipelajari untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU) di masa akan datang sebagai seorang pegawai polis jika diberi peluang," katanya yang menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas Fakulti Pendidikan.

Sementara itu, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Nuklear Fakulti Sains dan Teknologi iaitu Amirul Akmal Farooq Aminuddin pula menerima Anugerah Pelatih Terbaik (Akademik).

Amirul Akmal Farooq berkata, buat masa sekarang dia bekerja sambilan sebagai penghantar makanan Foodpanda dan rancangannya pada masa depan adalah menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pegawai tetap.

Sementara itu, Arjunaidi dalam ucapannya berbangga dengan pentauliahan kepada 67 pelatih Skuad 15 /2019-2022 Kor Suksis UKM itu dan paling membanggakan 23 daripada pelatih itu juga adalah penerima anugerah kecemerlangan Kelas Pertama dalam akademik.

"Pegawai Kor Suksis dilatih mengikut silibus yang telah disenaraikan di semua universiti awam membabitkan latihan selama tiga tahun.

"Ïa membabitkan modul yang perlu dilalui selama 672 jam secara keseluruhannya. Mahasiswa ini adalah harapan masa depan menjadi pemimpin yang berwibawa bagi memimpin negara ke arah kemajuan," katanya.

Beliau menyeru kepada pelatih Kor Suksis UKM itu membabitkan 33 lelaki dan 34 perempuan itu supaya menjauhkan diri daripada sebarang bentuk gejala sosial dan pelanggaran undang-undang negara.

"Sebagai ahli Kor Suksis, anda seharusnya menjadi contoh ikutan dan pemangkin kepada masyarakat supaya sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi yang berjaya dan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 3:43 PM