PINTU masuk UPSI.
PINTU masuk UPSI.
Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: Seramai 25 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) memilih kerjaya kepolisian selepas tamat menjalani latihan selama tiga tahun di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dekat sini.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, walaupun bergelar pelatih Suksis, namun penuntut terbabit sudah membuktikan kemampuan untuk menjalani latihan seiring dengan pelajaran.

"Buktinya, keseluruhan jumlah pelatih dari skuad yang terawal pada 2006 hingga 2021, semuanya berjaya dengan mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas.

"Ada dalam kalangan pelatih ini juga berjaya mencapai CGPA 3.99 sehingga dinobatkan Pelatih Akademik Terbaik Kor Suksis UPSI 2022.

"Selaku Naib Canselor dan Komandan Kor SUKSIS UPSI, saya amat berbangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelatih yang mampu mengharungi cabaran dalam tempoh tiga tahun dengan membahagikan masa antara latihan dan pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis UPSI 2022 di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Ketua Penolong Pengarah Pendataan Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Luqman Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Jabatan JPJKK Asisten Komisioner Datin Seri Halimaton Ahmad.

Anugerah Pelatih Terbaik (Keseluruhan) disampaikan kepada Mohamad Hafizin Abdullah, Anugerah PelatihTerbaik (Akademik) Mohammad Muhaimin Muhammad Misbah dan Anugerah Pelatih Terbaik ( Latihan Luar ) diterima Siti Nazifah Arifin.

Dr Md Amin berkata, seramai 66 orang pelatih Kor Suksis UPSI ambilan 2019 berjaya menamatkan latihan di universiti bersejarah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 4:09 PM