DR Hassan  bersama pelatih yang menerima anugerah di UPSI, semalam.
DR Hassan bersama pelatih yang menerima anugerah di UPSI, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim

Nilai: Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, mengekalkan kecemerlangan buat kali kedua berturut-turut apabila menerima Anugerah Khas Ketua Polis Negara bagi kategori Kor SUKSIS Universiti Awam Terbaik.

Anugerah disampaikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kepada Komandan Kor SUKSIS USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS Universiti Awam ke-14 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, semalam.

Selain itu, tiga pelatih USIM turut dipilih menerima anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan yang dimenangi Muhammad Hakimi Ghazali (penuntut Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa), Pelatih Terbaik Latihan Luar dimenangi Muhammad Syafiq Abdullah (Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko) manakala Pelatih Terbaik Latihan Akademik dimenangi Muhamad Nur Fitri Mat Rani (Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam).

Muhammad Hakimi berkata, ia adalah pencapaiannya yang tidak pernah disangka dan amat gembira atas pemilihan itu.

“Alhamdulillah, sentiasa mendengar arahan jurulatih dan buat yang terbaik dalam tugasan diberi memberi rezeki kepada saya untuk menerima anugerah ini,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Strategik USIM, di sini, semalam.

Sementara itu, Hassan Basri berkata, kecemerlangan pasukan SUKSIS adalah hasil komitmen dan disiplin tinggi yang sentiasa diberikan oleh semua pelatih sepanjang mengikuti latihan.

Katanya, kejayaan ditauliahkan itu juga terhasil daripada kerjasama erat oleh pengurusan Kor SUKSIS dan jurulatih yang tidak jemu berkongsi pengalaman serta ilmu kepada pelatih.

Pentauliahan Kohot ke-10 Kor SUKSIS USIM tahun ini, menjadikan seramai 574 Inspektor Sukarelawan Polis dilahirkan oleh USIM sejak pengambilan kohot pertama pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:07 AM