DUA pasangan suami isteri, Nur Atikah (kiri) dan Mohamad Amirul bersama Mohd Alif Naim Wahidi serta isterinya, Ain Natasha Ismail selepas  menerima skrol pada Majlis Konvokesyen USIM ke-17 di Dewan Tuanku Canselor USIM.
DUA pasangan suami isteri, Nur Atikah (kiri) dan Mohamad Amirul bersama Mohd Alif Naim Wahidi serta isterinya, Ain Natasha Ismail selepas menerima skrol pada Majlis Konvokesyen USIM ke-17 di Dewan Tuanku Canselor USIM.
Mohd Amin Jalil


NILAI: Bertemu jodoh dan menerima ijazah bersama-sama itulah kenangan terindah pasangan suami isteri ini sepanjang berada di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Semalam, Mohamad Amirul Hazizi Roslan, 23, dan Nur Atikah Johari, 22, juga rakan sekelas dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina pada Majlis Konvokesyen kali ke-17 USIM di sini.

Nur Atikah berkata, mereka berkenalan ketika semester akhir pengajian di USIM dan menyifatkan kejayaan diraih bersama-sama itu sebagai detik manis dalam hidup.

“Saya tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan rakan sekelas. USIM pastinya akan menjadi tanda kenangan yang sukar kami lupakan sepanjang hidup.

“Kami bersyukur kerana dapat ijazah ini serentak. Kini kami menjalankan perniagaan nasi bajet di ibu negara,” katanya.

Sementara itu, peserta Program Da’i Pendakwah Nusantara, Wan Nuraini Wan Rosdi, 24, berkata kesibukan menyertai program realiti keagamaan itu tidak menghalang dirinya bergelar graduan.

Pada cuti semester pula Wan Nuraini sibuk dengan aktiviti Kor Sukarelawan Siswa Polis (Suksis). Berikutan itu dia perlu bijak membahagikan masa agar tidak ketinggalan dalam akademik.

“Saya tidak melepaskan peluang menyertai program Da’i kerana ia memberikan nilai tambah kepada diri saya.

“Setiap kali cuti semester saya tidak rehat atau pulang ke kampung seperti rakan sekuliah lain sebaliknya masa diisi dengan pelbagai aktiviti seperti menjadi hos program Ramadan dan Aidilfitri pada 2017.

“Alhamdulillah, semuanya itu dapat saya lalui dengan baik. Mahu berjaya bukan mudah dan perlu banyak berkorban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 5:40 AM