FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah jumlah pegawai dan anggota di semua sempadan negara bagi mengawal kemasukan pengembara ke Malaysia mulai 1 April.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Aidi Ismail berkata, tambahan berkenaan bagi memastikan pengembara yang layak berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"JPJKK akan sentiasa berhubung dengan lain-lain jabatan yang ada bagi memastikan penguatkuasaan SOP dapat dilaksanakan termasuk bantuan daripada Bukit Aman.

"Apabila pintu masuk negara dibuka, ramai pelancong atau pengembara yang akan datang dan mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Suksis di Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dekat sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, PDRM menggalakkan pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor SUKSIS) UTHM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadikan bidang kepolisan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian.

Katanya, dengan latihan dan ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang tempoh tiga tahun latihan, pelatih Kor SUKSIS antara calon terbaik untuk menyertai PDRM.

"Pelatih berkenaan juga akan diberikan keutamaan ketika pemilihan untuk memasuki PDRM dan perlu memohon dalam tawaran untuk jawatan Inspektor yang dibuka pada setiap tahun.

"Dengan latar belakang dan latihan mereka ketika di universiti, ia menjadikan itu satu kelebihan kepada mereka terutamanya dalam bidang fizikal dan pengetahuan kepolisan," katanya.

Terdahulu, 102 pelatih daripada UTHM dan UTM tamat latihan dan masing-masing layak menerima Sijil Pelantikan Inspektor Kor Suksis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 2:45 PM