DR Hassan  (dua dari kiri) menyerahkan risalah cegah jenayah kepada pelajar UiTM sambil diperhatikan Abd Samah  (empat dari kanan).
DR Hassan (dua dari kiri) menyerahkan risalah cegah jenayah kepada pelajar UiTM sambil diperhatikan Abd Samah (empat dari kanan).
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Polis bercadang meluaskan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) kepada penuntut Bukan Residen (NR) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ia bertujuan mendedahkan aspek keselamatan di kalangan mahasiswa terutama penuntut yang tinggal di luar kampus.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, penuntut yang menyertainya juga akan menerima manfaat termasuk berpeluang menyertai pasukan keselamatan itu.

“Penuntut yang menyertainya dapat mempelajari aspek keselamatan sekali gus boleh mempertahankan diri ketika berdepan situasi jenayah.

“Apabila menyertai SUKSIS, penuntut dilatih sebagai anggota polis dan ini menjadi platform terbaik untuk mereka bergelar anggota polis,” katanya pada Program Santai Naib Canselor UiTM dan Ketua Polis Selangor bersama Mahasiswa NR UiTM dan Komuniti Seksyen 7, semalam.

Turut hadir Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat.

Abdul Samah berkata, pembabitan penuntut NR menyertai SUKSIS boleh membantu menangani kadar jenayah.

“Sebagai contoh, jumlah jenayah yang direkodkan di Balai Polis Seksyen 6 dan 7 ialah 88 kes pada 2015, namun dari Januari hingga Mac lalu, jumlah kes yang dicatatkan sebanyak 107 kes dan ia membimbangkan.

“Dengan adanya penuntut NR menyertai SUKSIS, ia sekurang-kurangnya boleh membantu,” katanya.

Sementara itu, Hassan berkata, UiTM menyambut baik cadangan terbabit untuk diketengahkan kepada penuntut NR UiTM.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertimbangkan pemberian penginapan percuma kepada penuntut yang menyertai SUKSIS.

“Kolaborasi antara polis dan UiTM boleh menjadikan penuntut sebagai mata dan telinga polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:33 AM