Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah akan menempatkan seramai 33 anggota untuk menghadapi sebarang bencana atau kes kecemasan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai di Kulim, Khamis ini.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, kesemua anggota terbabit adalah daripada APM Kulim dan jumlah itu sudah mencukupi untuk melakukan tugas berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuka bilik gerakan APM di Padang Serai dan menempatkan anggota di situ sebagai persediaan menghadapi kes kecemasan atau bencana.

"Insya-Allah sebelum ini pada hari penamaan calon dan PRU-15 Sabtu lalu, keadaan semua terkawal dan berharap pada hari penamaan calon PRU-15 Parlimen Padang Serai nanti juga dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui pada Himpunan Setia APM Kedah di Kompleks APM Kota Setar, hari ini.

Dalam pada itu, Awang Askandar berkata, APM Kedah sentiasa bersiap sedia menghadapi perubahan cuaca ketika Monsun Timur Laut sepanjang November hingga Mac tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengikuti perkembangan berkaitan cuaca dan banjir di negeri ini.

STATUS yang dimuatnaik di Facebook. FOTO Facebook.
STATUS yang dimuatnaik di Facebook. FOTO Facebook.

"Kita juga turut mengikuti perkembangan kejadian air pasang tetapi APM Kedah turut bersama dengan pasukan yang ada termasuk rakan strategik dan komuniti yang kita bimbing dan beri latihan untuk menghadapi situasi bencana.

"Setakat hari ini keadaan cuaca stabil baik," katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan tahap waspada di utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang selama dua hari.

Menurut MET Malaysia, amaran tahap waspada yang dikeluarkan pada 5 petang dijangka akan melanda seluruh tiga negeri berkenaan mulai hari ini hingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 1:54 PM