AWANG Askandar (tengah, barisan hadapan) bersama peserta CDERT APM. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AWANG Askandar (tengah, barisan hadapan) bersama peserta CDERT APM. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Air pasang besar dijangka berlaku sekali lagi selama dua hari di Kuala Kedah dan Kuala Muda pada 11 hingga 12 Oktober ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, air pasang besar itu dijangka berlaku pada 1.25 pagi pada 11 Oktober manakala 12 Oktober pada 1.52 pagi.

Beliau berkata, paras air laut juga dijangka mencecah 2.9 meter pada dua hari berkenaan.

"Minggu lalu ada berlaku kejadian air pasang besar di kawasan sama di dua daerah itu yang menyebabkan paras air laut naik sehingga mencecah 2.9 meter tetapi tidak menjejaskan rumah penduduk.

"Orang ramai terutamanya golongan nelayan dinasihatkan berhati-hati ketika turun ke laut pada waktu itu dan penduduk yang tinggal di pesisir pantai atau berisiko rendah juga perlu bersiap sedia untuk berpindah sekiranya air laut naik mendadak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Taklimat Peranan dan Tugasan Pasukan Tindak Balas Pertahanan Awam (CDERT) Negeri Kedah dalam pengurusan Bencana di APM Kota Setar, hari ini.

Dalam program itu, seramai 20 daripada 34 peserta CDERT yang aktif di negeri ini hadir untuk persediaan menghadapi peralihan monsun timur laut yang dijangka November ini hingga Mac tahun depan.

Awang Askandar berkata, khidmat pasukan CDERT ini diperlukan untuk membantu tugas APM selain memantau keadaan banjir dan air pasang yang berlaku di Kuala Kedah baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 7:48 PM