Allahyarham Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub (kanan) bersama dua pegawai bersekutu APM Kedah ketika melakukan pendakian di sebuah gunung di Kedah baru-baru ini. FOTO IHSAN APM
Allahyarham Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub (kanan) bersama dua pegawai bersekutu APM Kedah ketika melakukan pendakian di sebuah gunung di Kedah baru-baru ini. FOTO IHSAN APM
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pemergian Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub adalah kehilangan besar pada warga APM Kedah.

Timbalan Pengarah APM Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, Allahyarham Awang Askandar seorang ketua yang tegas tetapi sangat baik dengan pegawai dan anggota sukarelawan di negeri ini.

Beliau berkata, arwah juga seorang yang bersemangat serta bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara.

"Memang kami seluruh warga APM Kedah terkejut dengan berita pemergiannya dan sukar untuk mencari ganti 'bos' yang sepertinya.

"Arwah suka membantu dan menolong orang yang dalam kesusahan dan pegawai yang sangat berdedikasi serta banyak memberi nasihat serta bimbingan kepada anak buahnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Muaz berkata, Allahyarham juga sangat meminati bidang pendakian dan aktiviti skuba.

Katanya, arwah juga aktif dalam aktiviti sukan di luar dan sentiasa mementingkan penjagaan kesihatan serta kecergasan tubuh badan.

"Kami semua mendoakan supaya rohnya tenang di sana dan segala urusan jenazahnya dipermudahkan.

"Semua 60 pegawai tetap APM dan 1,100 sukarelawan APM di negeri ini terasa kehilangan bos yang sangat baik," katanya.

Pegawai Bersekutu APM Kedah Kapten (Bersekutu) Kumaran Rajamoney berkata, hubungan baik antara arwah dengan media Kedah menjadikan tugas wakil media lebih mudah.

Katanya, arwah mengambil langkah memperkukuhkan hubungan ini dengan menawarkan lantikan Kapten Bersekutu kepada dua pengamal media Kedah termasuk dirinya dari TV3 dan Zuliaty Zulkiffli dari Harian Metro.

"Selain tugas hakiki, arwah turut aktif dalam membantu menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan bersama Kelab Media Elit Kedah (KMEK).

"Pemergiannya adalah satu kehilangan yang sangat besar buat warga APM dan media Kedah khususnya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bersekutu APM Kedah Syahida Syukor berkata, Allahyarham Awang Askandar seorang yang mudah didekati oleh sesiapa saja dan mudah untuk berurusan.

Katanya, ramai yang masih terkejut dengan apa yang berlaku tetapi sentiasa mendoakan supaya rohnya dicucuri rahmat.

"Memang terasa kehilangannya," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah yang juga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia ketika menawan gunung tertinggi itu.

Awang Askandar meninggal dunia jam 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 1:07 PM