DATUK Dr Abdul Latiff Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan cek berjumlah lebih RM1.4 juta. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Dr Abdul Latiff Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan cek berjumlah lebih RM1.4 juta. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan peruntukan lebih RM1.4 juta kepada Kedah untuk mangsa bencana di Yan dan Kuala Muda serta persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, ia membabitkan peruntukan di bawah Tabung Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABBN).

Katanya, ia merangkumi RM836,000 bantuan wang ihsan mangsa bencana dan RM600,000 untuk perbelanjaan Operasi Monsun Timur Laut 2021/2022.

"Peruntukan ini boleh digunakan termasuk membeli peralatan tambahan sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021.

"Paling penting persediaan minda bagi menghadapi bencana yang dijangka melanda bulan ini," katanya yang melakukan lawatan kerja ke Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah di sini, hari ini.

Penyerahan cek disampaikan oleh beliau kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Bahagian Pengurusan), Datuk Syed Shaharuddin Syed Abdullah.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab; Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah dan Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob.

Dr Abdul Latiff berkata, lawatannya ke Kedah bagi meninjau persediaan APM dalam menghadapi bencana.

"Kita berharap APM menjadi agensi yang sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana pada bila-bila masa.

"Selepas ini, Monsun Timur Laut dijangka melanda negara bermula November hingga Mac depan, jadi kita perlu buat persiapan rapi," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota APM yang terbabit dalam operasi bencana di Yan, sijil pendaftaran CDERT APM Kedah dan sijil penghargaan kepada Hotel Seri Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 7:33 PM