Zuliaty Zulkiffli


Langkawi: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menjalani latihan menyelam selama tiga hari berakhir semalam di Pulau Pasir di sini sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, latihan yang disertai 40 peserta itu diadakan bertujuan untuk memantapkan lagi pegawai dan anggota yang berkemahiran dalam unit skuba selain memberi ingatan semula kepada mereka berkaitan ilmu selaman.

Beliau berkata, setakat ini APM Kedah mempunyai 14 pegawai dan anggota Unit Selam yang boleh digerakkan pada bila-bila masa untuk bergabung tenaga dengan agensi lain sekiranya berlaku kejadian lemas dan sebagainya.

"Setakat ini jumlah itu sudah memadai dan kita akan menambah bilangan anggota unit selam bergantung pada keadaan dan setiap lima anggota akan digerakkan pada satu-satu masa.

"Dalam latihan itu kita memberi peluang kepada anggota kita supaya melakukan latihan supaya lebih bersiap sedia dalam operasi penyelamatan sekiranya menghadapi kemungkinan banjir kilat atau perubahan monsun timur laut," katanya ketika ditemui di Pulau Pasir, semalam.

Dalam pada itu, Awang Askandar berkata, selain latihan di laut, mereka turut melakukan beberapa siri latihan termasuk latihan menghadapi kepala air yang diadakan di Zon Utara membabitkan anggota di Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Yan bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya bercadang akan melakukan latihan sama di zon selatan yang membabitkan daerah Kuala Muda, Baling, Sik, Bandar Baharu dan Kulim.

"Di Langkawi, kita mempunyai pasukan penyelamat pantai di tiga menara iaitu di Pantai Cenang, Pantai Tengah dan Pulau Payar manakala satu di Pantai Merdeka di Kota Kuala Muda.

"Selepas pandemik Covid-19, ramai pengunjung beriadah di tepi pantai dan anggota penyelamat pantai ini akan melakukan rondaan selain membantu sekiranya berlaku kejadian tidak diingini yang membabitkan kemalangan di pantai termasuk sengatan obor-obor," katanya

Selain itu Awang berkata, pihaknya juga mempunyai 1,500 anggota APM di Kedah untuk menghadapi bencana terutama banjir kilat dan monsun timur laut.

Beliau berkata, untuk di zon utara, pihaknya sudah mengenal pasti 48 lembangan Sungai Kedah yang mempunyai lapan Mukim kerap berlakunya banjir kilat manakala di Lembangan Sungai Muda pula mempunyai sembilan mukim.

"Beberapa mesyuarat berkaitan persediaan menghadapi monsun timur laut sudah dilakukan di peringkat negeri manakala mesyuarat di peringkat Nasional akan diadakan bulan depan.

"Pemantauan kita dilakukan di lokasi yang kerap berlakunya banjir kilat itu adalah berdasarkan pengalaman yang kita lalui sebelum ini namun jika ada tempat baru, ia perlu dirujuk kepada jawatan pengurusan daerah masing-masing kerana lokasi itu sentiasa berubah," katanya.

Sebahagian peserta peserta diberi taklimat pada Program Explorasi APM sempena Dekad Platinum selama 70 tahun APM di Pulau Pasir, Langkawi. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian peserta peserta diberi taklimat pada Program Explorasi APM sempena Dekad Platinum selama 70 tahun APM di Pulau Pasir, Langkawi. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 4:54 PM