Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pelbagai barangan keperluan asas termasuk makanan bernilai RM50,000 dihantar untuk membantu mangsa banjir dari negeri ini ke Pantai Timur, hari ini.

Kesemua barangan terbabit dihantar melalui gabungan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dengan kerjasama Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) serta 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Selain YSB, NGO yang terbabit adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah, Bulan Sabit Merah (BSMM) Kedah, Kedah 4X4 Club, Yayasan Salam Malaysia (UTARA), Persatuan Sukarelawan Kebajikan Kedah, Pertubuhan Suara Patriotik Kedah, Kelab Eksplorasi Altitud, Kedah Kembara Crew, Persatuan Radio Amatur Melayu Semenanjung Utara Malaysia (ASTRA) dan XSD International Sdn Bhd.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, jumlah peserta yang terbabit dalam misi kali ini adalah seramai 82 orang dan membabitkan 26 kenderaan termasuk lori.

Beliau berkata, antara lokasi terbabit dalam kejadian banjir itu adalah di daerah Pasir Mas di Kelantan iaitu Kampung Bakong Luar, Kampung Siram Kecik, Kampung Merbau Pohon Tanjung dan Kampung berhampiran.

"Pihak kami sudah menghubungi APM Kelantan dan mendapatkan maklumat mengenai kawasan yang perlu diberi perhatian khususnya bantuan sumbangan serta akses laluan di tempat yang perlu disalurkan bantuan.

AWANG Askandar (dua dari kiri) ketika melepaskan konvoi menghantar barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Pantai Timur di YSB. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
AWANG Askandar (dua dari kiri) ketika melepaskan konvoi menghantar barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Pantai Timur di YSB. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

"Kita perlu ada penyelarasan dalam pasukan bagi semua pihak untuk menjayakan misi ini," katanya pada sidang media di YSB, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Amanah YSB, Datuk Dr Kamaruzaman Ali.

Awang Askandar berkata, pihaknya menghantar petugas pada misi pertama banjir baru-baru ini seramai 10 hingga 20 orang di Kelantan dan Terengganu dan mereka sudah pulang selepas tugas misi berkenaan.

Sementara itu, Dr Kamaruzaman berkata, pergerakan YSB Support Team ni dilakukan sejak 19 Disember tahun lalu sebaik menerima maklumat daripada pihak NGO di Kelantan bahawa berlakunya banjir di kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Beliau berkata, pihaknya menghantar empat bot yang ditarik lima kenderaan pacuan empat roda oleh enam sukarelawan yang terbabit selain memberi bantuan kepada mangsa banjir sebelum pulang ke sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 7:58 PM