TUMINAH melihat keadaan mangsa yang cedera dihempap dahan pokok rhu di Pantai Puteri. FOTO ihsan Adun
TUMINAH melihat keadaan mangsa yang cedera dihempap dahan pokok rhu di Pantai Puteri. FOTO ihsan Adun
Nuraliawati Sabri


Melaka: Perkelahan lima sekeluarga bertukar detik cemas, apabila ibu dan bayi lelakinya berusia setahun lima bulan cedera dihempap dahan pokok rhu di Pantai Puteri, di sini, lewat petang tadi.

Kejadian dikatakan berlaku jam 6.30 petang, ketika wanita terbabit ketika itu sedang mendukung bayinya sambil melihat suami dan anaknya mandi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, semasa kejadian hanya ibu dan bayinya berada di kawasan berdekatan pokok rhu manakala suami dan dua anak lagi sedang mandi-manda di pantai.

"Keluarga ini dikatakan sedang berkelah dan tiba-tiba sebatang pokok rhu tumbang lalu dahan bahagian tengah pokok itu menghempap belakang kepala wanita terbabit.

"Akibatnya, kedua-dua mereka tersungkur dan tersembam ke pasir," katanya yang memaklumkan kejadian berlaku selepas cuaca hujan.

Menurutnya, menyedari kejadian menimpa dua beranak berkenaan, orang ramai yang berada di lokasi kejadian segera membantu mengalihkan dahan pokok dan mengorek pasir bagi menyelamat mereka.

"Wanita itu dan anaknya yang turut mengalami sesak nafas ekoran kejadian kemudian dibawa ke Hospital Melaka bagi rawatan lanjut," katanya.

Tuminah berkata, kejadian pokok tumbang bukan pertama kali berlaku sebaliknya pernah terjadi sebelum ini kerana usianya yang sudah menjangkau lebih 20 tahun.

"Pokok-pokok ini sebenarnya dalam tindakan dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ada melaksanakan kerja mencantas secara berkala dan kita akan meminta sebahagian pokok ini ditebang.

"Malah, untuk sementara waktu kita akan minta kawasan ini ditutup sementara waktu bagi aktiviti perkhemahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 9:08 PM