Hanneeyzah Bariah Baharin


“INI kali pertama saya ‘parking’ berhampiran pokok ini dan tak sangka pula terjadi insiden kereta dihempap pokok tumbang,” kata Dr Abd Halim Abd Manan, 26, selepas kereta Perodua Myvi miliknya dihempap pokok tumbang di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Abd Halim yang bertugas di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu berkata, beliau meletakkan kenderaannya berhampiran pokok rhu berkenaan 6.40 pagi tadi, selepas parkir di dalam dan di luar kawasan hospital itu penuh.

“Saya masuk kerja 7 pagi. Ketika sedang lakukan rondaan di wad pada 9.30 pagi, ada jururawat datang beritahu kereta saya dihempap pokok.

“Selesai tugasan di wad, saya pun segera keluar periksa kenderaan dan lihat pokok rhu tumbang menghempap kereta saya.

“Bagaimanapun, mujur pokok tumbang itu tersangkut pada dahan pokok di sebelahnya sekaligus mengurangkan impak kerosakan kepada kereta saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Akibat kejadian itu, bumbung kereta milik Dr Abd Halim remuk, selain cermin kereta pecah dan cermin sisi tercabut akibat dihempap pokok berkenaan.

Beliau yang tinggal di Wakaf Mempelam berkata, ketika meletakkan kenderaan di situ, beliau tidak nampak sebarang tanda pokok berkenaan akan tumbang, walaupun mengakui rasa bimbang meletakkan kenderaan di situ selepas kejadian ribut tropika Pabuk.

“Apapun saya masih bersyukur kerana kejadian tidak berlaku ketika saya berada di dalam kenderaan, kalau tidak, tak dapat dibayangkan apa akan terjadi,” katanya.

 Dr Abd Halim Abd Manan, 26 memeriksa kerosakan keretanya selepas dihempap pokok rhu di Pantai Batu Burok berhampiran Hospital Sultanah Nur Zahirah. FOTO Rozainah Zakaria
Dr Abd Halim Abd Manan, 26 memeriksa kerosakan keretanya selepas dihempap pokok rhu di Pantai Batu Burok berhampiran Hospital Sultanah Nur Zahirah. FOTO Rozainah Zakaria

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Padang Hiliran, Pegawai Bomba Kanan II (Operasi), Abd Halim Mat Adam berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 10.19 pagi sebelum enam anggota dengan satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi 10.26 pagi, pihaknya mendapati dua kereta Perodua Myvi dihempap pokok rhu setinggi kira-kira 12 meter.

“Daripada pemeriksaan, kita didapati pokok ini sudah tua dan akarnya sudah reput. Kita tidak menolak kesan ribut tropika Pabuk menyebabkan pokok ini goyah dan tumbang.

“Walaupun tidak ada kejadian angin kencang hari ini dan cuaca baik, tetapi pokok ini mungkin sudah tidak stabil selepas dibadai angin kuat beberapa hari lalu sebelum tumbang hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian meminta bantuan khidmat Unit Peronda Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang kebetulan berada di tempat kejadian untuk memotong pokok dan mengalihkan kenderaan itu.

“Kita turut mendapat bantuan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu dan polis untuk mengawal keadaan dan lalu lintas.

“Malah, kita juga terpaksa mengalihkan kenderaan Perodua Myvi dengan mengangkat kereta itu beramai-ramai kira-kira lima meter dari lokasi pokok tumbang berikutan pemilik kenderaan itu gagal dihubungi walaupun pengumuman mengenainya sudah dibuat di HSNZ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 2:31 PM