Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menunggu laporan lengkap daripada pakar pokok sebelum mencantas dahan dan menebang pokok di sepanjang pantai Batu Burok.

Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh berkata, penebangan dan pemotongan dahan pokok teduhan dalam kawasan majlis tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, melainkan mendapat maklum balas daripada pakar pokok.

Katanya, MBKT sedang melakukan siasatan secara dalaman dan menunggu laporan lengkap insiden seorang wanita cedera dihempap dahan pokok ru ketika sedang berehat di Pantai Batu Burok, semalam.

"Kita akan melakukan semakan sama ada pernah menerima cadangan daripada pakar pokok untuk kerja mencantas dahan pokok ru di lokasi kejadian.

"Setakat ini, kerja mencantas dahan pokok ru di tepi pantai di hadapan kawasan taman awam Batu Burok siap dilakukan," katanya pada media sempena program kayuhan basikal bersama Datuk Bandar di Dataran Batu Burok, di sini, hari ini.

Program kayuhan sempena Hari Sukan Negara (HSN) peringkat MBKT sejauh kira-kira 15 kilometer disertai lebih 150 pengayuh basikal termasuk pelumba basikal negara, Mohd Harris Salleh.

Turut sama, Setiausaha Kerajaan Negeri,Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkarnain Yassin.

Rozali berkata demikian ketika mengulas insiden seorang wanita, Roslina Mohamed berusia 50-an yang cedera dihempap dahan poko ru ketika sedang duduk di bangku di Pantai Batu Burok, pada 3.15 petang semalam.

LAPORAN portal berita Harian Metro semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro semalam.

Rozali berkata, penebangan pokok dan kerja mencantas dahan hanya boleh dilakukan selepas mendapat laporan dan pandangan daripada pakar pokok.

"Pakar pokok kebiasaannya akan memberi cadangan agar pokok teduhan ditanam reput atau mudah tumbang perlu ditebang kerana membahayakan keselamatan orang ramai.

"Berikutan itu, pengunjung dan orang ramai dinasihatkan tidak lepak di bawah pokok berikutan keadaan cuaca tidak menentu terutama ketika angin kencang dan ribut," katanya.

Berita berkaitan

'Wanita cedera dihempap dahan pokok ru'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 3:41 PM