NIK Mohamed Noor (kanan) bersama Abang Lah (kiri) di lokasi kejadian. FOTO Nor Amalina Alias
NIK Mohamed Noor (kanan) bersama Abang Lah (kiri) di lokasi kejadian. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


“Saya dengar bunyi yang sangat kuat sebelum lihat pokok berketinggian lebih 15 meter menghempap lelaki dan kanak-kanak yang sedang berjalan,” kata Abang Lah Awang Long, 62, saksi kejadian dua warga Myanmar maut di Pantai Irama, Bachok, semalam.

Abang Lah berkata, ketika itu angin sangat kencang sebelum pengunjung dilihat melarikan diri untuk menyelamatkan diri.

Katanya, sebaik mendengar bunyi kuat, dia terus mendongak dan melihat bahagian tengah batang pokok rhu terbelah dua dan menimpa dua pengunjung malang itu.

“Ketika itu, kedua-dua mangsa sudah nyawa-nyawa ikan selepas mengalami pendarahan yang banyak di kepala.

“Saya dan beberapa pengunjung lain sempat mengangkat kedua-dua mangsa ke kedai saya sebelum lelaki dewasa itu meninggal dunia tidak lama kemudian dan mangsa kanak-kanak sempat dibawa ke klinik turut dikhabarkan maut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Menurutnya, sejak berniaga kedai makan selama lapan tahun di kawasan itu, sudah dua kes kejadian pokok tumbang mengakibatkan kematian di pantai itu termasuk membabitkan seorang wanita pada 2014.

“Biasanya penduduk kampung sudah arif dengan keadaan cuaca di sini. Kalau angin kencang kami memang tak berada di pantai dan tidak mandi-manda bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Bachok, Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, pihak Majlis Daerah Bachok (MDB) baru sahaja mengadakan kerja-kerja memotong dahan dan pokok yang berisiko tumbang di kawasan pantai itu, Rabu lalu.

“Selepas melawat lokasi kejadian, kita dapati pokok yang tumbang adalah pokok baru dan tidak berisiko rosak. Kita percaya pokok itu patah disebabkan angin sangat kencang,” katanya.

Nik Mohamed berkata, susulan kejadian itu, satu pasukan ditubuhkan untuk menjalankan pemeriksaan semua pokok di pantai itu untuk memastikan keselamatan orang awam.

“Saya nasihatkan pengunjung jika berlaku angin kencang elakkan berada di kawasan pantai atau berlindung di bawah pokok, begitu juga aktiviti mandi-manda,” katanya.

Semalam, dua warga Myanmar, Norjim Nurul Amin, 24, dan Ibrahim Budi Alam, 3, maut apabila dihempap pokok rhu yang tiba-tiba tumbang.

Norjim maut di tempat kejadian manakala Ibrahim disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bachok.

Berita berkaitan:

Pokok rhu bawa ajal

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 5:23 PM